Telan pahit kritikan, ibu tunggal kerja DJ kelab tetap pendirian hantar anak lelaki belajar sekolah tahfiz


  • Bonda
  • Ahad, 19 Okt 2025

Amoy tidak lupa untuk sentiasa menziarahi anak lelakinya yang belajar di sebuah sekolah pondok.

KISAH seorang wanita di Indonesia yang sering dikaitkan dengan gaya hidup glamor, tetapi tidak meninggalkan tuntutan agama mencuri perhatian ramai.

Wanita lebih dikenali dengan nama DJ Amoy Karamoy itu memperlihatkan sisi kehidupan berbeza antara dunia pekerjaan dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu.

Menerusi video dikongsikan di akaun TikTok baru-baru ini, Amoy dilihat menziarahi anak lelakinya yang menuntut ilmu di sebuah sekolah pondok atau tahfiz.

BACA LAGI: Tak boleh ulas topik sesuka hati, 'influencer' di China wajib ada sijil akademik profesional

BACA LAGI: Inspirasi kartun 'Detective Conan', wanita tiru idea bijak 'balas' pembuli di sekolah rendah

Video singkat itu sekali gus mendapat tontonan lebih 20 juta dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada warga maya.

Siapa sangka, wanita yang sering tampil dengan gaya seksi di pentas hiburan mempunyai sifat keibuan dan menerapkan nilai keagamaan dalam kehidupan peribadi.

Dalam video sama, Amoy turut tampil sopan menyarungkan jubah berwarna putih dan bertudung labuh ketika bertemu anaknya.

Bukan itu sahaja, beliau juga duduk tenang di hadapan anaknya yang sedang membaca al-Quran di pondok kecil berkenaan.

Meskipun mendapat kritikan hebat daripada orang ramai, Amoy tidak melihat perkara tersebut sebagai satu kesalahan.

Amoy pada masa sama menjawab beberapa desakan agar berhenti menjadi deejay (DJ) dan menukar kerjaya sebagai usahawan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih berkat.

"Terima kasih anak, kamu adalah penerang cahaya dan alasan bertahan sampai saat ini.

"Saya faham puan, cuba berikan saya duit atau bayarkan anak saya sampai dia masuk kolej setinggi mungkin," ulasnya.

Kenyataannya jelas menunjukkan pendirian tegasnya terhadap usaha dan kerja kerasnya untuk membiayai pendidikan anaknya meskipun terpaksa berdepan dengan kritikan.

Namun, di sebalik kecaman diterima terdapat juga segelintir individu yang masih menyokong dan mendoakan Amoy agar terus berjuang demi masa depan anaknya.

Sementara itu, Amoy difahamkan menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal dan aktif melakukan pelbagai pekerjaan termasuk DJ. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram