Tak boleh ulas topik sesuka hati, 'influencer' di China wajib ada sijil akademik profesional


  • Sukses
  • Ahad, 19 Okt 2025

Peraturan terhadap pempengaruh media sosial di China berkuat kuasa bermula awal Oktober ini. — Gambar hiasan

KERAJAAN China mengambil langkah tegas dalam usaha memerangi penyebaran maklumat palsu terutamanya dalam kalangan pempengaruh media sosial.

Salah satu cara adalah dengan memperkenalkan Cyberspace Administration of China (CAC) bersama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China yang mewajibkan pempengaruh memiliki sijil akademik sah untuk menghasilkan kandungan berkaitan topik sensitif dan profesional seperti perubatan, undang-undang, pendidikan dan kewangan.

Dasar yang berkuat kuasa bermula awal Oktober ini juga menetapkan tanggungjawab tersebut pada penyedia platform media sosial utama seperti Douyin (TikTok versi China), Bilibili dan Weibo.

BACA LAGI: Menang tanpa bertanding acara silat, bapa 'paksa' anak buang pingat, koyak sijil, didik nilai integriti

BACA LAGI: ‘Bersahabatlah hingga syurga’, ibu letak syarat, wajib solat 5 waktu jika nak berkawan dengan anak

Setiap pempengaruh diwajibkan untuk memiliki sijil akademik selari dengan topik yang diulas di media sosial. — Gambar hiasan

Berdasarkan laporan agensi, pencipta kandungan diberi masa selama dua bulan untuk mengesahkan sijil akademik berkaitan sebelum mendapat kebenaran menerbitkan kandungan profesional.

Bukan itu sahaja, kesemua kandungan diterbitkan juga wajib menyatakan sumber maklumat digunakan serta memaklumkan sekiranya ia mengandungi unsur lakonan atau elemen dijana kecerdasan buatan (AI).

Penyedia platform media sosial pada masa sama turut perlu memastikan proses pengesahan dijalankan dengan telus serta mengingatkan pengguna tentang tanggungjawab mematuhi undang-undang dan etika ketika menyebarkan maklumat kepada umum.

CAC juga memperkenalkan beberapa langkah tambahan bagi mengekang penyamaran iklan atau promosi terselindung.

Antaranya termasuk larangan menyeluruh terhadap iklan perkhidmatan atau produk perubatan, makanan kesihatan dan konsultasi dalam talian.

Akaun yang menggunakan pendekatan pendidikan untuk tujuan promosi produk atau menyamar sebagai profesional turut diarah ditutup.

Ia bertujuan menyekat kandungan bersifat seksual yang disamarkan sebagai pendidikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram