Inspirasi kartun 'Detective Conan', wanita tiru idea bijak 'balas' pembuli di sekolah rendah


  • Bonda
  • Ahad, 19 Okt 2025

Perkongsian seorang wanita tentang caranya menangani isu buli ketika di sekolah rendah. — Gambar hiasan

BUDAYA buli dalam kalangan pelajar sekolah dilihat menjadi isu yang semakin membimbangkan masyarakat.

Berdiam diri bukanlah jalan terbaik, maka keberanian untuk bersuara dan bertindak dengan bijak mampu menjadi titik perubahan.

Inilah dilakukan oleh @alia_nurshuhada yang pernah melalui pengalaman sama berkongsi cara mengatasi masalah buli di akaun Threads beliau baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Banyak kali buat permintaan pelik', impian wanita bergelar model jadi mimpi 'ngeri'

BACA LAGI: Ada kontrak tiba-tiba tamat, tarik diri, dugaan Elly Mazlein lepas berhijab

Tulis wanita tersebut beliau mengambil langkah untuk bangkit melindungi diri dan adiknya yang menjadi mangsa buli di sekolah.

Sejak kecil, Alia mengakui dirinya sering menjadi sasaran ejekan kerana bertubuh gempal.

"Sejak tadika saya disuruh angkat beg kawan-kawan, diejek itu biasa.

"Pernah kasut dicampak dalam semak, sampai balik rumah kaki ayam," kongsinya.

Tidak terhenti di situ, situasi sama turut berlaku pada adiknya yang ketika itu masuk Tahun 1 di sekolahnya.

Berbeza dengannya, adik perempuan beliau berbadan lebih kecil dan kurus, tetapi tetap menjadi mangsa buli.

Adiknya dipaksa mengurut tangan, menyiapkan kerja sekolah dan melukis untuk si pembuli.

"Bila saya tanya kenapa mereka kacau, adik kata sebab kakak 'gemuk raksasa'.

"Itu betul-betul buat saya hancur. Saya boleh bertahan kalau saya dibuli, tetapi tidak bila adik dibuli," jelasnya.

Sehubungan itu, biarpun masih Tahun 3, Alia nekad mencari jalan untuk menghentikan pembulian tanpa menggunakan kekerasan fizikal.

Terinspirasi daripada watak dalam rancangan televisyen animasi Jepun, Detective Conan yang gemar menyiasat, beliau mula merancang langkah kecil, tetapi berani.

"Saya perhatikan siapa kacau adik, semak latar belakangnya kalau anak cikgu atau ada abang kakak di sekolah.

"Selepas itu saya akan jumpa abang atau kakak mereka di hadapan kawan-kawan mereka.

"Saya cakap 'tolong jaga adik kakak boleh? Kalau tak, saya tolong jagakan'.

"Baru 9 tahun, walaupun menggigil, tetapi tetap beranikan diri," dedahnya.

Tindakan berani itu akhirnya membuahkan hasil, gangguan terhadap adiknya terhenti, malah pembuli mula menjauh apabila melihat Alia.

Bagi pelaku yang tiada adik-beradik di sekolah, Alia menggunakan pendekatan lain iaitu berdiri di tangga bas setiap kali dengan hanya senyuman tanpa kata-kata.

Perbuatan itu secara tidak langsung membuatkan si pembuli takut dan berhenti mengganggunya.

Menyedari caranya itu tidak dapat digunakan dalam jangka masa panjang, Alia mengubah strategi menawarkan diri sebagai pengawas sekolah.

"Saya perlukan cara lebih kukuh untuk lindungi diri dan adik.

"Jadi, bila unit disiplin buka permohonan pengawas, saya terus mohon.

"Saya rasa jadi pengawas boleh bagi saya perlindungan dan akses terus kepada cikgu," katanya.

Langkah itu ternyata berhasil. Bukan saja beliau lebih yakin ke sekolah, malah rakan-rakan mula menghormatinya.

"Mungkin masa itu semua orang tak matang dan cuma nak berkawan tetapi caranya salah.

"Waktu itu sokongan keluarga sangat diperlukan jadi, saya harap semua orang ada rumah untuk kembali sebagai tempat kita rasa selamat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram