Ada kontrak tiba-tiba tamat, tarik diri, dugaan Elly Mazlein lepas berhijab


  • Gaya
  • Khamis, 16 Okt 2025

Elly Mazlein mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya sejak minggu lalu. — Instagram/Elly

PENYANYI, pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein tampil memberi penjelasan tentang status penghijrahannya baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu pada masa sama menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan dan memberi semangat sejak beliau mengambil keputusan berhijab.

Menerusi video dimuat naik di akaun Instagramnya, Elly atau mesra disapa Kak Lina mengambil kesempatan menjelaskan situasi sebenar bagi mengelakkan kekeliruan apabila melihat beberapa video lakonannya yang dirakam sebelum berhijab disiarkan.

BACA LAGI: 'Banyak kali buat permintaan pelik', impian wanita bergelar model jadi mimpi 'ngeri'

BACA LAGI: Menantu ajar cara menaip, nenek 90 tahun berjaya genggam ijazah bidang sastera Inggeris

Menurut pelantun lagu Sabarlah Hati itu, jika terdapat video memaparkan dirinya tidak berhijab di media sosial atau kaca televisyen itu merupakan rakaman lama.

Namun, di sebalik perubahan positif tersebut itu, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan tidak menolak bahawa perlu mempersiapkan diri berdepan dengan pelbagai dugaan dalam kerjaya seninya.

"Ada yang tanya macam mana kerja selepas berhijrah. Selepas perhijrahan ini, ada kontrak tiba-tiba ditamatkan.

"Selepas itu, ada kita dah bincang, tiba-tiba tarik diri. Pelbagai dugaan selepas berhijab.

"Tetapi, Kak Lina percaya rezeki datangnya daripada ALLAH dalam pelbagai cara dan bentuk," jelas wanita berusia 45 tahun tersebut .

Dalam pada itu, isteri kepada Muhammad Azlan Che Nuh tersebut turut percaya bahawa setiap pekerjaan yang hilang akan diganti dengan rezeki lebih baik tanpa disangka.

Tidak mahu usaha terhenti di tengah jalan, Elly mengharapkan sokongan dan memohon agar masyarakat termasuk peminatnya mendoakan yang terbaik untuknya.

"Doakan Kak Lina dan anda semua juga. Semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, dan dikelilingi orang yang baik-baik.

"Jangan takut untuk berubah, Insya-ALLAH ada rezeki kita," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram