
DARIPADA hanya minat mengumpul kasut, Ahmad Zulfadli Harun kini menjadikan hobinya sebagai punca rezeki utama.
Menerusi perniagaan Thekasutclean yang ditubuhkannya sejak 2018, ia menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mencuci, membaiki dan menjual produk penjagaan kasut, topi, beg serta aksesori fabrik.
Lelaki 29 tahun itu juga tidak pernah menyangka kegilaannya terhadap kasut mampu membawanya sejauh ini.
Hobi mengumpul kasut menjadi pencetus idea membangunkan perniagaan Thekasutclean.
"Sebelum buka bisnes, saya memang seorang yang sangat minat dan gila dengan kasut.
"Saya pernah ada 62 pasang kasut termasuk berjenama dan terpakai.
"Sekitar 30 pasang sahaja yang saya beli baharu dan selebihnya di kedai kasut terpakai.
"Saya akan cuci, cat dan baiki sendiri kalau ada kerosakan pada kasut," katanya kepada Majoriti.
Rutin hariannya itu sekali gus mencetuskan idea buat Ahmad Zulfadli atau lebih mesra disapa Pali untuk menawarkan perkhidmatan membersihkan kasut pada kenalan terdekat dengan harga yang murah.
Sambutan positif diterimanya kemudian mendorongnya mengambil langkah berani untuk berhenti kerja dan membuka perniagaan sepenuh masa pada 1 Januari 2020.
Namun, siapa sangka, tarikh yang sepatutnya menjadi permulaan baharu itu secara tidak langsung menjadi titik hitam terbesar dalam hidupnya apabila pandemik Covid-19 melanda.
Sokongan keluarga menjadi penguat semangat Pali (kanan, belakang).
Dua tahun tanggung rugi
Baru sahaja menyewa ruang kecil di sebuah kedai gunting rambut di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur, operasi perniagaannya terpaksa dihentikan dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Sayangnya, perniagaan yang baru bermula tidak sampai tiga bulan itu terhenti dalam sekelip mata.
Lebih memberi kesan mendalam apabila usahanya melaburkan puluhan ribu ringgit terkubur begitu sahaja tanpa mendapat pulangan semula.
"Saya boleh katakan hampir dua tahun tak ada bisnes sebab kedai tutup. Orang pula tak keluar jadi tiada keperluan untuk mereka cuci kasut.
"Saya menyewa pula guna modal daripada simpanan dan gaji sebelum itu kira-kira RM10,000 juga.
"Belum sempat merasa untungnya dah perlu tutup. Tetapi, kerugian jadi lebih banyak sebeab sewa perlu dibayar sekitar RM300 setiap bulan walaupun bisnes tidak berjalan," jelasnya.
Perjalanan Thekasutclean yang bermula dengan penuh cabaran.
Ditambah pula dengan keadaan keluarga yang memerlukan kewangan, bapa kepada dua orang anak itu terpaksa mencari jalan lain bagi menampung keperluan harian.
Tidak terus berdiam diri, dia membuat keputusan untuk bekerja sebagai penghantar barang keperluan pelanggan sepanjang tempoh PKP.
"Waktu itu kalau ada yang tak boleh keluar saya tawarkan khidmat untuk beli barang di pasar raya atau sebagainya.
"Kebetulan anak sulung saya baru lahir dan itulah cara saya bertahan," ujarnya.
Apabila keadaan semakin pulih, Pali kembali memulakan operasi Thekasutclean pada 2022.
Namun, dia sekali lagi ditimpa ujian apabila kerjasama bersama rakan kongsinya gagal dan kekangan modal yang hampir membuatkannya berputus asa.
"Saya sampai terpaksa jual motor untuk kumpul modal buka kedai semula.
"Waktu itu saya fikir, kalau dah mula tak akan nak berhenti separuh jalan," katanya.
Semburan pewangi yang direka khas untuk kegunaan pada fabrik kasut.
Minat jadi motivasi
Belajar daripada pengalaman lalu anak jati Cheras, Selangor itu mula bangkit dan membina perniagaannya dengan lebih tersusun.
Jelasnya, setiap operasi harian daripada sudut pengurusan kewangan dan kakitangan hingga perkhidmatan disusun secara teratur.
Ditanya pula perkara yang memberikannya motivasi untuk terus bangkit, minat dan sokongan keluarga menjadi penguat semangatnya.
"Selain minat dan dorongan keluarga, sokongan pelanggan yang tak pernah henti walaupun ketika saya susah.
"Saya juga nak beri penghargaan kepada tiga pekerja utama saya, abang Aidil, Acik dan Hana yang banyak membantu dari awal permulaan.
"Sekarang, saya lebih menjaga hubungan dengan pelanggan, beri servis terbaik.
"Bila mereka puas hati, pasti akan datang semula dan itu kekuatan bisnes kecil saya," tambahnya.
Cawangan kedua di stesen LRT Kerinchi yang beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Kini, Thekasutclean mempunyai dua cawangan iaitu di Alam Damai dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kerinchi.
Perniagannya malah berkembang dengan penjualan produk penjagaan kasut seperti semburan pewangi dirumus khas untuk menghilangkan bau dan membunuh bakteria.
Harga perkhidmatan pula bermula serendah RM30 untuk kasut atau topi, manakala cucian beg boleh mencecah sehingga RM400 bergantung kepada saiz dan jenis material, termasuk kulit premium.
Baginya, cawangan di LRT Kerinchi merupakan langkah besarnya untuk bekerjasama dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram