‘Bersahabatlah hingga syurga’, ibu letak syarat, wajib solat 5 waktu jika nak berkawan dengan anak


  • Bonda
  • Rabu, 15 Okt 2025

Didikan ibu bapa yang menggalakkan anak melakukan ibadah solat bersama rakan di rumah. — @izianaodyy

IBU bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak.

Peranan itu bukan sekadar memastikan mereka cemerlang dalam akademik, tetapi turut melibatkan aspek nilai agama dan disiplin rohani bagi melahirkan generasi berakhlak mulia selari dengan tuntutan agama.

Didikan berasaskan nilai agama sejak di rumah, sekali gus menjadi asas penting dalam membentuk jati diri permata hati.

BACA LAGI: Menantu ajar cara menaip, nenek 90 tahun berjaya genggam ijazah bidang sastera Inggeris

BACA LAGI: Hijrah ibu jadi pencetus idea, pengasas Edna Scarf kreatif reka tudung sekolah '2 in 1', elak anak tudung selalu hilang

Perkongsian aktiviti yang diterapkan kepada anak bersama rakannya. — @izianaodyy

Pendekatan sama turut dikongsi oleh beberapa ibu bapa di media sosial dalam membentuk persekitaran persahabatan anak yang sihat dan berdisiplin.

Berdasarkan perkongsian pengguna akaun Threads @izianaodyy, anaknya dididik untuk mencari kawan yang mampu menjaga solat.

"Setiap minggu kawan-kawan anak datang tidur rumah. Syarat minimum untuk berkawan dengan anak saya adalah wajib jaga solat lima waktu.

"Alhamdulillah kawan-kawan dia semua memang jaga solat. Didikan sebenar bermula dari rumah.

"Kita tak mampu nak menjaga dengan segala fitnah yang dasyat akhir zaman," katanya.

Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengguna lain yang bersetuju dengan pendekatan itu.

Seorang pengguna lain, @amatullah_fazrina berpendapat budaya mengenali rakan-rakan anak serta keluarga mereka perlu dihidupkan semula.

"Teruskan amalan ni. Budaya kenal kawan-kawan anak kita, orang tua mereka kena hidupkan semula," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @beautifoolchix berkongsi pengalaman serupa apabila anak lelakinya turut dikelilingi rakan-rakan yang gemar mengajak ke masjid untuk solat berjemaah dan aktiviti agama.

"Anak-anak saya biasa sahaja, tetapi kawan-kawan mereka dari sekolah agama selalu ajak solat di masjid.

"Kadang-kadang selepas Maghrib, Isyak atau waktu cuti mereka akan ke masjid untuk solat Zohor dan Asar.

"Alhamdulillah dalam kawasan taman yang berpagar jadi tak risau," komennya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram