Jadi pembekal 'touch screen' untuk jenama telefon pintar global, pengerusi Lens Technology rupanya tokoh wanita terkaya di dunia


  • Bisnes
  • Khamis, 16 Okt 2025

Sikap merendah diri masih dikekalkan walaupun Zhou digelar sebagai wanita terkaya di dunia. — Agensi

SIAPA sangka, bermula dengan hanya kira-kira RM10,872 (HK$20,000), seorang wanita dari kampung kecil di Hunan, China kini digelar antara tokoh wanita terkaya di dunia.

Zhou Qunfei, pengasas dan pengerusi Lens Technology kini dikenali sebagai antara usahawan wanita paling berjaya di China.

Lens Technology juga antara pembekal besar komponen penting kepada gergasi teknologi global seperti Apple, Samsung dan Tesla.

BACA LAGI: Hijrah ibu jadi pencetus idea, pengasas Edna Scarf kreatif reka tudung sekolah '2 in 1', elak anak tudung selalu hilang

BACA LAGI: Korbankan segulung ijazah, anak tunggal pilih sara ibu OKU, bapa sakit dengan berniaga sandwich RM5 di Bukit Bintang

Lens Technology menjadi antara pembekal besar bagi beberapa jenama teknologi global. — Agensi

Syarikat yang berpangkalan di Hunan itu merupakan pengeluar utama skrin boleh sentuh untuk pelbagai peranti pintar terkemuka dunia.

Menurut laporan antarabangsa, wanita berusia 54 tahun itu juga tergolong sebagai dalam lima teratas antara 50 wanita terkaya dunia dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah lebih RM46 bilion (HK$86.35 bilion).

Dilahirkan di sebuah kampung kecil di wilayah Hunan pada 1970, kehidupan Zhou tidaklah semudah yang disangka.

Pada usianya baru lima tahun, ibunya meninggal dunia manakala, bapanya separuh buta mengalami kecederaan serius sehingga satu jarinya putus akibat kemalangan ketika bekerja.

Demi membantu meringankan beban keluarga, Zhou mengambil langkah berat untuk keluar dari kampung dan bekerja di sebuah kilang kaca di Shenzen, China ketika usianya 15 tahun.

Namun, di sebalik kesusahan yang dialami, semangat juangnya tidak pernah terpadam.

Meskipun datang daripada keluarga sederhana, Zhou gigih mengikuti kelas malam di Universiti Shenzhen untuk mempelajari subjek perakaunan dan teknologi selepas pulang bekerja antara 16 hingga 18 jam sehari.

Selepas beberapa tahun mengumpul pengalaman dan menabung simpanan kira-kira RM10,000, Zhou nekad berhenti kerja pada usianya 22 tahun untuk membuka bengkel kecil menghasilkan skrin kaca di rumah sewanya.

Zhou memulakan langkahnya seawal usia 15 tahun. — Agensi

Usaha kecilnya itu kemudiannya berkembang menjadi Lens Technology, jenama yang kini disegani dunia.

"Saya mempunyai dorongan berbeza daripada orang lain.

"Mereka datang dari keluarga berada, tetapi saya tidak.

"Saya hanya mahu mengubah nasib dengan usaha sendiri," katanya.

Dari kaca jam tangan ke telefon pintar

Awalnya, Zhou hanya menghasilkan kaca untuk jam tangan namun, satu panggilan telefon yang diterima pada 2003 mengubah segalanya.

Panggilan daripada eksekutif syarikat elektronik terkenal, Motorola ketika itu menawarkan kerjasama untuk Zhou menjadi pembekal untuk menghasilkan skrin kaca bagi model telefon Razr V3.

Ia merupakan inovasi baharu di kala kebanyakan telefon masih menggunakan skrin plastik.

Kerjasama itu sekali gus membuka jalan untuk Zhou mengembangkan perkhidmatannya pada jenama lain seperti HTC, Nokia dan Samsung.

Namun, lonjakan besar berlaku pada 2007 apabila Apple melancarkan telefon pintarnya, iPhone yang memperkenalkan skrin sentuh kaca secara tidak langsung mengubah landskap industri.

Zhou kini bergelar usahawan paling berjaya di China. — Agensi

Terpilih sebagai pembekal utama, lonjakan perniagaan Lens Technology menjadikan kedudukan Zhou antara yang tertinggi dalam landskap penghasilan teknologi China.

Walaupun kini bergelar jutawan, Zhou kekal bersederhana dan rajin turun padang.

Beliau masih meninjau kilang malah, sering melakukan pemeriksaan sendiri setiap proses pemanasan kaca bagi memastikan kualitinya.

Lebih mengejutkan apabila Zhou turut dilaporkan mempunyai ruang tidur di pejabatnya bagi membolehkannya bekerja sehingga 18 jam sehari.

Gaya kepimpinannya juga menjadikan beliau disegani, dihormati dan dicontohi oleh ribuan pekerjanya.

Bukan itu sahaja, didikan bapanya turut membentuk sifat teliti dan berhati-hati dalam diri Zhou.

Rutin menyusun barangan rumah dengan rapi ketika kecil diaplikasikan di tempat kerja serta menjadi asas kepada budaya disiplin tinggi di Lens Technology.

"Saya tidak layak untuk menjadi orang yang terlalu menonjol.

"Bagi saya, penting untuk tidak terlalu bangga ketika berjaya dan tidak berputus asa ketika susah," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram