
KANAK-KANAK generasi baharu atau lebih dikenali sebagai Gen Alpha membesar dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.
Mereka juga digambarkan sebagai bukan sekadar celik digital, malah disifatkan sememangnya 'dilahirkan' dalam dunia tersebut.
Menurut penulis dan pakar kaunseling terlatih bidang keibubapaan, Adlil Rajiah Mohd Nasir, ia sedikit sebanyak memberi keunikan dan kelebihan kepada generasi berkenaan.
BACA LAGI: 'Mula dengan pakaian pun boleh', pakai purdah, tudung labuh dorong wanita kawal diri, perbaiki sikap
Kanak-kanak Gen Alpha membesar dalam dunia digital. — Gambar hiasan
Katanya, anak-anak Gen Alpha juga merupakan kumpulan pertama manusia yang benar-benar menjadi native speaker bahasa teknologi.
"Kita generasi millennial atau Gen X ibarat pendatang dalam dunia digital.
"Tetapi, mereka lahir terus fasih dan mahir. Bagi apa sahaja gajet, mereka terus tahu guna tanpa perlu diajar," katanya kepada Majoriti.
Adlil Rajiah berkata, kelebihan itu bagaimanapun datang dengan cabarannya tersendiri.
Generasi tersebut turut dilatih untuk berfikir dan bertindak pantas susulan pendedahan kepada kandungan digital yang sangat pantas dari TikTok hingga YouTube Shorts.
“Segalanya mesti laju. Video 10 minit pun dah dianggap terlalu panjang.
"Bila loading tiga saat, dah tak senang duduk. Kesannya, mereka kurang sabar dan tidak mahir menunggu," jelasnya.
Digital mentor, bukan digital dictator
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa ibu bapa dan para pendidik perlu mengubah pendekatan dalam mendidik anak-anak sedemikian.
Baginya, cara merampas gajet atau mengarahkan mereka melakukan aktiviti luar bukan sahaja tidak realistik, malah boleh merosakkan hubungan sosial.
Katanya, pendekatan yang lebih berkesan adalah dengan menyertai dunia anak iaitu menonton kandungan media sosial bersama, bertanya soalan dan menggalakkan pemikiran kritikal.
Beliau turut mengingatkan agar ibu bapa membenarkan anak merasa bosan, kerana ia merupakan pemangkin kreativiti.
"Kita tak perlu isi setiap masa anak dengan aktiviti. Kadang-kadang bila mereka tak tahu nak buat apa, di situlah kreativiti muncul.
"Daripada melukis, mencipta permainan hingga meneroka idea baharu," jelasnya.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan memahami anak generasi ini. — Gambar hiasan
Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, Adlil Rajiah percaya bahawa kunci utamanya adalah dengan menerima hakikat bahawa dunia tidak lagi seperti dahulu.
"Kita tak boleh kawal algoritma, tetapi boleh kawal suasana rumah.
"Jadikan rumah tempat paling tenang, di mana anak boleh jadi diri sendiri tanpa perlu sempurna untuk kejar likes atau views," ujarnya.
Menyentuh pula tentang masa hadapan Gen Alpha, Adlil berpandangan bahawa kemahiran holistik seperti pemikiran kritikal, empati dan keupayaan beradaptasi akan menjadi kelebihan utama generasi itu.
Berdasarkan laporan Future of Jobs oleh World Economic Forum, beliau berkata, kemahiran tersebut sememangnya sukar diganti oleh mesin atau kecerdasan buatan (AI).
Adlil Rajiah menegaskan, tugas sebenar ibu bapa bukan sekadar melahirkan anak cemerlang akademik atau celik teknologi, tetapi membentuk mereka menjadi manusia yang baik dan berakhlak.
"Robot boleh hasilkan lagu, tetapi tak ada perasaan. Empati dan sentuhan manusia tetap tak boleh ditiru.
"Manusia yang tahu beza baik dan buruk, tahan lasak dan mampu belajar semula bila dunia berubah," tambahnya.
Sebagai ibu kepada seorang remaja berusia 14 tahun, Adlil turut berkongsi pengalaman peribadinya mendepani bahasa dan budaya Gen Alpha yang penuh dengan istilah janggal.
"Setiap masa ada sahaja bahasa baru keluar dari mulut dia. I'm cooked, lemme cook.
"Bahasa dalam WhatsApp pula dah macam dari tamadun mesopotamia.
"Penuh dengan ngl ts pmo sm, kys, bruh, sus, ate, no cap, sybau, bussin. Susah nak faham apa dia cakap," kongsinya.
Pekara tersebut bagaimanapun bukanlah situasi yang membimbangkan malah, menjadi titik permulaan buat semua pihak bertindak.
Justeru, beliau turut mengadakan bengkel Raising Gen Alpha yang dijadualkan berlangsung November ini.
Ia juga dilaksanakan khusus bagi ibu bapa yang ingin belajar menyesuaikan diri dengan realiti membesarkan generasi itu sepenuhnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram