
PAKAIAN tradisional masyarakat Jawa yang lengkap dengan perhiasannya menjadi tarikan utama bagi pengunjung dan pelancong yang ingin merakam kenangan indah apabila mengunjungi Jalan Malioboro, Yogyakarta, Indonesia.
Di sebalik keindahan pemandangan tersebut, terselit kisah kejayaan Blangkon Creative, sebuah perniagaan tempatan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan fesyen tradisional.
Perniagaan itu bukan sahaja memelihara warisan budaya Jawa, tetapi turut membuka peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.
Blangkon menjadi idea pertama di awal perniagaannya. — Agensi
Pengasasnya, Tekattono atau lebih mesra disapa Pak Te memulakan Blangkon Creative pada 2017 selepas bersara daripada berkhidmat sebagai anggota polis.
Berbekalkan minat terhadap seni dan tradisi Jawa, lelaki berusia 65 tahun mula menjual pakaian tradisional sebelum memperluaskan usahanya ke dalam bidang fotografi dan penyewaan kostum.
"Saya bermula dengan menjual pakaian tradisional.
"Kalau ada pelanggan beli blangkon (tengkolok khusus Jawa), saya akan pakaikan lengkap dan swafoto.
"Bayarannya pun secara sukarela," katanya.
Namun, gambar yang dirakam menggunakan peranti sendiri sering kali tidak memuaskan.
Pak Te (dua dari kiri) merupakan pengasas Blangkon Creative. — Agensi
Sejak itulah muncul ideanya untuk melibatkan anak muda yang menganggur sebagai jurugambar bagi membantu pelancong mengabdikan momen mereka.
"Saya mementingkan anak muda yang tidak bekerja. Mereka akan belajar sesama sendiri seperti senior mengajar junior," jelasnya.
Beliau pada masa sama menubuhkan Koperasi Pokoke Blangkon yang berdaftar dengan Persatuan Kebudayaan Yogyakarta yang bertujuan mengukuhkan peranan sebagai pemulihara budaya tradisional Jawa.
Kini, Blangkon Creative mampu menerima sehingga 100 pengunjung sehari dan jumlah tersebut meningkat kepada 400 orang sehari ketika musim cuti.
Koleksinya juga mempunyai pelbagai motif dan saiz untuk lelaki dan wanita.
Selain pakaian tradisional Jawa, Pak Te juga menawarkan pakaian daripada budaya lain termasuk Belanda, India dan Bali.
Pakej sewaan pakaian tradisional ditawarkan pada harga sekitar RM10 (RP40,000) bagi kostum premium, manakala setiap keping foto dijual pada harga RM1 (RP5,000).
Blangkon Creative menjadi usaha mengekalkan warisan tradisional masyarakat Jawa. — Agensi
"Sebagai contoh, jika dua lelaki dan seorang wanita bergambar, minimum 20 keping gambar iaitu sekitar RM45 (RP180,000) termasuk sewaan pakaian dan sesi bergambar selama 30 minit," tambahnya.
Nilai keseluruhan aset Blangkon Creative kini dianggarkan mencecah RM101,777 (RP400 juta).
Perniagaan itu turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 30 individu.
Bermula dengan modal permulaan hanya RM152 (RP600,000), perniagaan Blangkon Creative kini berkembang pesat hingga memiliki peralatan fotografi bernilai tinggi termasuk set kamera bernilai hingga RM10,177 (RP40 juta) setiap satu.
Kejayaannya turut disokong oleh program Kredit Usaha Rakyat (KUR) yang disediakan oleh pihak bank bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkukuh modal serta mengembangkan perniagaan.
Pak Te turut mendedahkan bahawa dia dibenarkan untuk membuat pinjaman sehingga RM25,444 (RP100 juta).
"Tempoh bayaran balik biasanya dua tahun, namun selalunya dapat dilunaskan lebih awal," kongsinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram