Hijrah ibu jadi pencetus idea, pengasas Edna Scarf kreatif reka tudung sekolah '2 in 1', elak anak tudung selalu hilang


  • Bisnes
  • Selasa, 14 Okt 2025

Perjalanan bisnes Erween (kanan) yang menjual pelbagai jenis tudung dan pakaian tradisional wanita serta lelaki.

MUNCUL dalam pelbagai gaya dan warna menarik, Edna Scarf kini menjadi antara jenama tudung tempatan paling mendapat tempat di hati wanita Malaysia.

Dihasilkan dengan kesabaran, kasih sayang dan semangat, setiap produknya menjadi simbol harapan untuk perniagaan itu terus hidup.

Namun, siapa sangka bisnes yang dibangunkan oleh pengasasnya, Erween Nezam Azam Normi atau lebih senang disapa Erween Daud itu hanyalah bermula daripada kosong.

BACA LAGI: Uniknya jurufoto muda berbusana tradisional Jawa, cetusan idea pesara polis tarik perhatian pelancong

BACA LAGI: Korbankan segulung ijazah, anak tunggal pilih sara ibu OKU, bapa sakit dengan berniaga sandwich RM5 di Bukit Bintang

Rekaan hijab dua dalam satu yang memudahkan dan menjimatkan masa.

Tanpa sebarang ilmu perniagaan, Erween kini mampu menjana pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit setahun.

Segalanya bermula ketika negara dilandan pandemik Covid-19 sekali gus menjadi titik gelap buat seluruh industri termasuk sektor penerbangan.

Ribuan pekerja dalam sektor penerbangan dibuang kerja dan kehilangan sumber pendapatan.

Erween yang juga bekerja sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tambang murah terkenal ketika itu turut terkena tempiasnya.

"Saya buat macam-macam, jual makanan, sabun dan segala apa yang boleh dijual.

"Sampai simpanan pun habislah sebab nak bertahan, tambah pula saya tiada asas berniaga," katanya kepada Majoriti.

Erween Daud memulakan perjalanan bisnes Edna Scarf sejak 2021.

Hijrah ibu pencetus idea 

Namun, di sebalik ujian tersebut, satu idea kecil tercetus selepas melihat penghijrahan ibunya.

Menurut lelaki berusia 36 tahun itu, rekaan pertama tudung yang dihasilkan dan dijual empat tahun lalu adalah diinspirasikan daripada situasi ibunya.

"Ketika itu ibu baru berhijrah nak pakai hijab, tetapi selalu mengadu anak tudung hilang dan tak sama warna.

"Jadi, saya fikir kenapa tak buat hijab yang siap dengan anak tudung sekali.

"Saya pun minta tolong seorang tukang jahit warga Bangladesh yang saya selalu jumpa untuk hasilkan shawl dijahit sekali dengan anak tudung," jelasnya.

Dengan modal kecil, Erween membeli kain, melakar rekaan sendiri dan menghantarnya kepada tukang jahit berkenaan.

Katanya, ia menjadi detik berharga dalam hidupnya apabila mendapat sambutan dan permintaan luar biasa daripada orang ramai.

Selain jenamanya dikenali, videonya di aplikasi TikTok turut mendapat tontonan ramai.

Sejak daripada itu, anak kelahiran Negeri Sembilan itu mula mengambil langkah ke hadapan dengan menghasilkan pelbagai rekaan tudung termasuk baju kurung, kebaya dan kurta.

Rekaan tudung sekolah Edna Scarf untuk pelajar sekolah.

Menariknya, Erween juga menawarkan rekaan dua dalam satu itu pada tudung khusus untuk pelajar sekolah.

Ideanya timbul selepas sering kali melihat kanak-kanak terutama pelajar prasekolah dan Darjah 1 yang masih belum mahir memakai tudung.

Berbeza dengan tudung sekolah biasa, rekaan Edna Scarf hanya selapis, lembut dan tidak panas.

Paling utama, anak tudung turut dijahit bersama bagi memastikan ia mudah dipakai oleh kanak-kanak.

"Saya juga berjumpa dengan beberapa pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika lancarkan produk ini.

"Alhamdulillah mereka sangat membantu dan ia tidak menjadi satu isu buat pelajar sekolah.

"Bila ada rekaan begini, mereka mudah nak pakai dan paling penting tiada masalah hilang anak tudung atau rambut terkeluar," ujarnya.

Niat mencari rezeki

Namun, ia ternyata bukanlah satu perjalanan yang mudah untuk mempertahankan perniagaan tersebut.

Dengan kaedah pemasaran yang dilakukan sendiri oleh Erween, dia tidak menafikan ia menimbulkan pelbagai reaksi daripada warga maya.

Mengambil pendekatan tidak mengeluarkan kos yang tinggi untuk mempromosikan produk, ada kalanya Erween menggunakan dirinya untuk menunjukkan cara memakai tudung.

"Ada masa saya akan buat video pakai tudung untuk tunjukkan cara yang betul.

"Tetapi, ada pula yang salah faham dan anggap saya menjual agama sampai berikan kata-kata negatif," katanya.

Ia bagaimanapun tidak sesekali menjatuhkan semangatnya untuk terus berniaga.

Berdasarkan nasihat diberikan oleh pakar agama, tindakan Erween tidaklah berlebihan sehingga menyerupai wanita.

"Saya rujuk juga ustaz dan mereka kata yang jatuh dosa bila lelaki itu sampai bersolek, pakai baju wanita dan buat perkara tidak senonoh.

"Jadi, saya hanya pakai sekejap untuk tunjuka cara dan buka semula. Niat saya untuk cari rezeki halal," tambahnya.

Pelakon Amyra Rosli antara individu yang banyak membantu mempromosikan tudung Edna Scarf secara percuma.

Selepas kejayaan koleksi tudung tudungnya, Erween kini merancang untuk mengembangkan jenamanya ke bidang kecantikan.

Tidak mahu terburu-buru, dia justeru membuat keputusan untuk belajar mengukuhkan jenamanya di seluruh Malaysia.

Selain bergelar pengusaha, Erween juga masih bekerja sebagai pramugara di syarikat lamanya secara sambilan.

"Dunia penerbangan sangat dekat di hati dan sebenarnya banyak beri inspirasi.

"Setiap kali ke luar negara, saya suka tengok gaya-gaya hijab wanita di sana dan bagaimana mereka padankan tudung, warna dan kain.

"Pada masa sama memudahkan saya untuk beli kain berlainan kualiti di luar negara," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram