
SIAPA sangka pada usia 50 tahun, Diva Pop Krisdayanti Lemos bakal menyarung pakaian atlet, bukan untuk menghiburkan peminat di atas pentas, sebaliknya beraksi di gelanggang wushu antarabangsa.
Artis tersohor itu akan mewakili Indonesia pada 10th World Kungfu Championships (WKFC) 2025 yang dijadualkan berlangsung di Emeishan, China bermula dari 14 hingga 20 Oktober.
Di sebalik imej glamor dan suara emasnya, Krisdayanti ternyata sudah aktif berlatih wushu sejak empat tahun lalu.
BACA LAGI: Kerajaan perkukuh nilai kemanusiaan, RM10 juta bantu pelarian, fokus lindungi kanak-kanak
Kini, beliau menguasai pelbagai jurus iaitu bermula daripada gerakan tangan kosong hingga teknik menggunakan senjata tradisional seperti pedang, golok tunggal, tombak, toya dan kipas.
Dari pentas nyanyian ke gelanggang wushu
Menariknya, Krisdayanti bakal mempersembahkan jurus wushu kipas pada kejohanan dunia itu.
“Dalam wushu ada kategori mengikut umur dan saya sertai kategori veteran. Tapi jangan salah faham ya, bukan veteran perang,” katanya.
Minat Krisdayanti terhadap wushu mula berputik sejak tempoh pandemik Covid-19 pada 2021.
Ketika ramai memilih untuk berehat di rumah, beliau pula mengambil pendekatan berbeza dengan mengundang jurulatih peribadi ke kediamannya untuk belajar wushu secara intensif.
Bagi Krisdayanti, wushu bukan sekadar senaman, tetapi juga latihan minda dan daya ingatan.
“Wushu melatih saya untuk kekal fokus dan tak cepat lupa. Setiap jurus ada banyak gerakan bersambung, jadi saya kena ingat dan hafal betul-betul,” katanya.
Minat terhadap seni bela diri itu sebenarnya lahir daripada kegemarannya menonton filem kungfu sejak kecil, antaranya siri legenda Yo Ko yang diadaptasi daripada karya klasik penulis China terkenal, Jin Yong.
Krisdayanti mengakui penyertaannya kali ini membawa makna besar dalam hidupnya.
“Saya bersyukur masih diberi kesempatan pada usia sekarang. Seronok juga kali ini ke luar negara bukan sebagai artis atau ahli politik, tetapi sebagai atlet yang mewakili Indonesia,” ujarnya.
Beliau sebelum ini pernah ke luar negara menggunakan visa diplomatik dan visa persembahan, namun pengalaman sebagai atlet disifatkan paling istimewa.
Keterlibatan Krisdayanti dalam kejohanan itu turut menarik perhatian atlet dari negara lain.
Menurutnya, beberapa atlet daripada Amerika Syarikat dan negara lain sudah menghubunginya untuk berkenalan dan bertukar cenderamata.
“Mereka kata nak jumpa dan bertukar jaket. Tetapi saya tetap fokus. Saya datang untuk mewakili Indonesia dan nak berikan yang terbaik,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram