Wanita hilang sejak 1962 ditemui hidup, menghilangkan diri akibat tidak tahan didera suami


  • Benua
  • Selasa, 06 Mei 2025

Backerberg dilaporkan hilang ketika berusia 20 tahun pada 7 Julai 1962. — Agensi

SEORANG wanita yang dilaporkan hilang selama hampir 63 tahun ditemui masih hidup dan berada dalam keadaan baik, lapor agensi.

Polis Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan berkata, Audrey Backeberg hilang dari rumahnya di bandar kecil Reedsburg pada 7 Julai 1962 ketika berusia 20 tahun.

Menurut Sheriff Sauk County, Chip Meister, kehilangan Backeberg adalah atas kehendaknya sendiri dan bukan disebabkan oleh jenayah atau perbuatan jahat.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari bakeri ke seni lukis, suri rumah jana pendapatan melalui skil conteng kereta berkonsep komik

BACA LAGI: Air mesin penapis tak selamat diminum bayi? Ketahui kaedah terbaik bancuh susu formula

Backeberg ditemui dalam keadaan baik dan selamat di Reedsburg, Wisconsin, AS. — Agensi

Polis turut memaklumkan bahawa wanita itu kini menetap di luar Wisconsin, namun tidak mendedahkan lokasi sebenarnya.

Berdasarkan maklumat daripada sebuah pertubuhan bukan untung, Wisconsin Missing Persons Advocacy, Backeberg ketika itu sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak sewaktu beliau hilang.

Beberapa hari sebelum kehilangannya, Backeberg yang kini berusia 82 tahun, membuat laporan polis terhadap suaminya yang dikahwininya sejak usia 15 tahun.

Dakwanya, pasangan beliau bertindak memukul dan mengugut untuk membunuhnya.

Pada hari kehilangan, beliau keluar dari rumah untuk menuntut gaji di kilang tempatnya bekerja.

Pengasuh anak pasangan itu yang berusia 14 tahun memberitahu polis bahawa beliau dan Backeberg menumpang kenderaan (hitchhike) ke ibu negeri Madison, sebelum menaiki bas ke Indianapolis, Indiana yang terletak kira-kira 480 kilometre (km) jauhnya.

Namun, pengasuh itu berasa takut dan mahu pulang, manakala Backeberg enggan ikut serta dan kali terakhir dilihat berjalan meninggalkan hentian bas tersebut.

Pejabat Sheriff Sauk County menyatakan bahawa pihak penyiasat sudah meneliti pelbagai petunjuk dalam kes itu namun siasatan terhenti, sehinggalah satu semakan menyeluruh terhadap fail lama dilakukan awal tahun ini.

Detektif yang berjaya menyelesaikan kes ini, Isaac Hanson memberitahu saluran berita tempatan bahawa akaun keturunan dalam talian milik adik perempuan Backeberg menjadi kunci kepada penemuan wanita tersebut.

Detektif Hanson berkata, beliau menghubungi pihak berkuasa di tempat tinggal Backeberg sekarang dan berjaya bercakap dengannya melalui telefon selama 45 minit.

“Saya rasa beliau hanya mahu menjauhkan diri dan meneruskan hidupnya sendiri,” katanya.

“Beliau kedengaran gembira, yakin dengan keputusannya dan langsung tidak menyesal," ujarnya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram