'Mula dengan pakaian pun boleh', pakai purdah, tudung labuh dorong wanita kawal diri, perbaiki sikap


  • Gaya
  • Ahad, 12 Okt 2025

Pemakaian hijab atau purdah boleh menjadi langkah pertama bagi seseorang wanita Muslim untuk berubah ke arah kebaikan. — Gambar hiasan

PENGHIJRAHAN seseorang wanita Muslim untuk menutup aurat bukanlah sekadar bergantung pada perubahan pada penampilan.

Tanpa sedar, ia menjadi langkah pertama dalam membentuk keperibadian yang lebih sopan, tenang dan berdisiplin.

Pemakaian hijab yang labuh memberi kesan mendalam terhadap sikap dan tingkah laku seseorang.

BACA LAGI: Jayakan misi ‘jiran prihatin’, program SGHA 2025 bersama McDonald’s Malaysia rai penghuni istimewa Taman Megah

BACA LAGI: ‘Precocious puberty’ makin ramai, doktor pesan ibu bapa jangan bagi anak belum akil baligh pakai makeup

 

 

 

Pengalaman tersebut turut dikongsikan pengguna akaun Threads @callmenur yang mengakui dirinya mula berubah ke arah lebih baik selepas berhijab sepenuhnya.

"Bila Norreen (pempengaruh media sosial) cakap dia dapat tone down perangai sejak mula berhijab.

"Saya pun dapat rasa sama. Dahulu masa saya mula-mula nak tutup aurat dengan sempurna dan cukupkan solat lima waktu, saya tak tahu nak mula dari mana.

"Selepas itu, acik (adik ibu) cakap, 'kadang-kadang orang ingat nak berubah kena mula dengan akhlak tetapi, sebenarnya mula dengan pakaian pun boleh'.

"Bila bersiap tengok cermin, terus ingatkan diri pakai tudung labuh sekarang jadi kena jaga dan ia memang betul," katanya.

Tambahnya, perubahan itu sedikit demi sedikit membantu dia lebih berhati-hati dalam pergaulan seharian.

Meskipun terpaksa berdepan dengan kritikan dan persepsi negatif daripada orang sekeliling, ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus belajar dan mendalami ilmu agama.

"Daripada rasa kecewa atau tertekan, saya mula dengar banyak ceramah dan hadir majlis ilmu.

"Kalau tak ada kawan, pergi seorang. Alhamdulillah itu yang buat saya masih istiqamah sampai sekarang.

"Iman naik turun itu biasa. Macam bateri gajet juga, jadi kita nak recharge pergilah solat di masjid atau majlis ilmu," jelasnya.

Seorang lagi pengguna, @meyiasparx turut berkongsi pengalaman serupa apabila mula memakai purdah.

"Betul. Bila mula pakai purdah, saya belajar ketawa dengan suara yang perlahan.

"Kalau tidak, orang hujung kampung pun boleh dengar saya ketawa," katanya berseloroh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram