
DALAM kesibukan pagi ketika orang ramai berpusu-pusu menuju tempat kerja, muncul kelibat seorang lelaki muda dengan meja lipat dan kotak plastik yang berisi sandwich.
Seawal pukul dua pagi Muhammad Ashraf Saipul Nizam sudah celik mata untuk melakukan persiapan jualannya di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
"Dari pukul 2 pagi saya rebus telur, siapkan bahan dan besiap-siap sehingga sebelum Subuh.
"Sekitar pukul 6.30 pagi saya dah sampai di Bukit Bintang untuk mula berniaga," katanya kepada Majoriti.
Perniagaan kecil yang dijalankan oleh Muhammad Ashraf.
Kata lelaki 23 tahun itu, operasi perniagaan kecilnya itu bermula di kawasan stesen transit aliran massa (MRT) Maluri dengan hanya menjual 10 keping sandwich.
Hari demi hari permintaan semakin meningkat, kini Muhammad Ashraf mampu menjual hingga 70 keping sandwich sehari.
Meskipun begitu, perjalanannya tidaklah semudah yang disangka.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Industri Halal, dia sempat bekerja sementara di sebuah kedai menjual gajet.
Langkahnya kemudian diperluaskan lagi dengan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan pada Mac 2024.
Namun, langit tidak selalu cerah, siapa sangka Jun 2024 merupakan detik permulaan baharu buatnya kerana terpaksa menghentikan pengajian selepas semester satu.
Walaupun berat, keputusan itu perlu dilakukan demi menjaga keperluan ibu bapanya yang uzur di rumah.
Sebagai anak tunggal dalam keluarga, seluruh tanggungjawab menguruskan perbelanjaan rumah terletak di bahunya.
"Saya sebab ayah tiba-tiba jatuh sakit. Ibu pula seorang suri rumah orang kelainan upaya (OKU) berkerusi roda.
"Kos yang saya tanggung juga lebih daripada RM800 sebulan ditambah dengan komitmen bayar motosikal dan perbelanjaan harian ketika sedang belajar.
"Waktu di universiti lagilah perbelanjaan saya tak cukup dan terpaksa juga kadang-kadang kerja sambilan.
"Tetapi, dengan kekangan masa, mana nak fokus tugas akademik dengan kerja, saya terpaksa berhenti dan berniaga sepenuh masa.
"Pernah juga tiga bulan saya terpaksa ikat perut sebelum tunggu duit elaun masuk hujung semester," jelasnya.
Semangat Muhammad Ashraf yang tidak pernah putus demi mencari rezeki.
Jatuh sekali, bangkit berkali-kali
Awalnya, Muhammad Ashraf hanya menjual sandwich telur dan mayonis dengan harga RM5 sebiji di depan MRT Maluri.
Namun, sambutan yang baik membuatkan dia berani bereksperimen dengan pelbagai perisa.
Kini, dia menawarkan 10 jenis sandwich termasuk menu popular seperti ayam barbeku.
Meskipun pernah dilarang untuk berniaga di kawasan MRT beberapa kali oleh pihak berkuasa, semangatnya tidak pernah putus.
Selepas berkali-kali percubaan, Muhammad Asyraf akhirnya mendapat lokasi sesuai untuk menjalankan operasi perniagaannya iaitu di kaki lima berhampiran Bukit Bintang.
Lebih menarik apabila harga sandwich yang dijualnya juga berpatutan dengan RM5 setiap satu.
"Semua jenis sandwich saya jual pada harga sama sebab matlamat saya adalah untuk beri nilai rasa yang sedap dan berpatutan.
"Walaupun sampai pernah kena saman, tetapi saya anggap semua itu sebagai ujian.
"Saya tahu ini sementara dan nak jadikan pengalaman ini sebagai langkah pertama ke arah sesuatu yang lebih besar.
"Alhamdulillah sekarang saya boleh jual sampai 70 keping dengan untung bersih RM100 sehari," ujarnya.
Walaupun perniagaannya semakin kukuh, Muhammad Ashraf tidak melupakan impian asalnya untuk menyambung pengajian.
"Saya memang berniat nak sambung belajar dengan duit sendiri nanti.
"Tetapi sekarang saya fokus untuk kukuhkan kewangan dan bantu keluarga keluar dari kesusahan," luahnya.
Antara sandwich yang dijual di Bukit Bintang dengan harga RM5.
Pelaburan masa hadapan
Dengan bantuan dua rakannya yang sanggup melabur untuk mengembangkan bisnesnya, dia merancang untuk menubuhkan kiosk sandwich di dalam stesen MRT.
Perniagaan kecilnya kini juga menjadi penanda aras baginya untuk tempoh enam bulan akan datang.
"Alhamdulillah saya dah daftar lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan ada dua rakan saya, Luqman dan Azfar yang melabur dan membantu untuk kami sama-sama tubuhkan kiosk itu.
"Kami pilih konsep kafe dengan gaya grab and go yang membolehkan pelanggan memilih bahan tambahan dalam sandwich mereka," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram