
TINDAKAN spontan beberapa pelajar Universiti Malaya (UM) membantu seorang peserta ketika pertandingan nyanyian sempena Minggu Haluan Siswa baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.
Insiden yang pada mulanya mencetuskan suasana canggung itu kemudiannya bertukar menjadi detik penuh makna.
Menerusi video dikongsikan pengguna Facebook Jaha Amareka, peserta wanita yang merupakan pelajar baharu itu berdepan situasi cemas apabila terlupa lirik lagu ketika persembahan.
BACA LAGI: Konsep Amae faktor utama kanak-kanak Jepun berani ke sekolah sendiri, membesar dengan yakin
Namun, tanpa sebarang arahan, kelihatan beberapa penonton termasuk peserta lain tampil ke pentas menari dan memberikan sokongan kepada pelajar berkenaan.
Keadaan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa seni persembahan bukan semata-mata untuk hiburan.
"Ada juga yang cuba bantu untuk ingatkan kembali lirik nyanyian itu. Semuanya secara spontan.
"Tanpa disedari, seni persembahan bukan semata-mata sebagai medium hiburan.
"Selain sebagai terapi, ia juga mengajar tentang keberanian, sokongan, kebersamaan, perpaduan, ekspresi emosi, penghubung antara penggiat dengan penonton, mendidik nilai kemanusiaan dan refleksi.
"Sama-sama kita raikan seni di sudut yang lebih positif. Hebat anak-anak UM," ulasnya.
Seorang lagi pengguna, Shahril Nawi turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar UM.
"Seni ini universal, bukan nak tengok kesempurnaan semata-mata, tetapi bagaimana kesempurnaan itu lahir daripada dokongan sekeliling.
"Kalau kita lihat dari sudut positif, maka hasilnya juga positif," komennya.
Ada juga berpandangan bahawa ia merupakan nilai penting yang harus dipupuk dalam kalangan mahasiswa universiti.
"Inilah semangat yang perlu dipupuk dalam kalangan mahasiswa, membantu ketika susah, menyokong ketika rebah, menjulang ketika lemah.
"Tahniah, saya sebagai pendidik tumpang bangga atas perkongsian video ini," ujar Attuk Halim Ismail Lim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram