'Tak mampu balas pengorbanan isteri', suami syukur dapat zuriat sulung lepas 17 tahun menanti


  • Bonda
  • Ahad, 12 Okt 2025

Mohd Haizi dan isterinya bersyukur atas kurniaan cahaya mata sulungnya usai 17 tahun penantian.

MENANTI kehadiran zuriat bukan sesuatu yang mudah malah perjalanan itu memerlukan ketabahan luar biasa, tangisan serta doa tidak pernah putus.

Pengalaman itu dikongsikan Mohd Haizi Mohd Khair apabila beliau dan isteri dikurniakan cahaya mata sulung selepas 17 tahun penantian yang menurutnya satu momen paling bermakna dalam hidupnya.

Menzahirkan rasa syukur usai kelahiran bayi perempuannya pada 29 September lalu, Haizi turut merakamkan penghargaan terima kasih atas pengorbanan serta perjuangan isterinya yang cekal menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali.

BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah

BACA LAGI: Adik-beradik sepatutnya tiada yang susah, kongsi rezeki jika ada melarat — Da'i Izzhar

Katanya, berkat usaha dan tidak mengenal erti putus asa akhirnya membuahkan hasil pada tahun ini selepas pernah berdepan kegagalan dalam rawatan tersebut sekitar dua tahun lalu.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya buat isteri kerana pengorbanan dilakukan sangat besar dan tak mampu dibalas, dua kali jalani IVF dan pernah gagal pada 2023.

"Kelahiran ini hasil usahanya kali kedua dan memang satu rahmat ALLAH sebagai tali ikatan kasih dalam kehidupan bertiga.

"Momen ni sangat lama dinanti-nantikan dan berkat doa serta usaha kami akhirnya dikurniakan zuriat perempuan selepas 17 tahun perkahwinan, Alhamdulillah," katanya kepada Majoriti.

 

Dalam pada itu, individu berusia 44 tahun itu turut berkongsi pengalaman usai bergelar bapa yang disifatkan sangat berbeza namun, manis untuk dinikmati bersama isteri.

Jelasnya, rutin hariannya berubah bak 360 darjah apabila kesemuanya memerlukan pengorbanan demi melunaskan tanggungjawab kepada isteri dan puteri kecilnya itu.

"Sejujurnya penuh dengan kejutan sebab ia memang situasi yang tidak pernah saya alami, dahulunya hidup berdua tapi sekarang bertiga dengan bayi kami.

"Tapi momen ini manis dan seronok bergelar ibu bapa, membesarkan anak, tiada kata boleh digambarkan betapa indahnya kurniaan tuhan," tambahnya.

Lebih manis, bayi perempuan berkenaan turut menjadi cucu sulung dalam keluarga, menjadikan kehadirannya amat dinanti oleh seluruh ahli keluarga besar mereka.

Turut berpesan kepada pasangan menanti zuriat di luar sana, Haizi menitip kata-kata semangat kerana jelasnya, usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil dan suami isteri perlu sentiasa menyokong satu sama lain sehingga ke titisan terakhir.

Malah, segala kesabaran dan keikhlasan dicurahkan menurutnya akan berbuah manis pada waktunya apabila Tuhan menentukan masa yang terbaik untuk memberi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram