'Selamat Hari Polis ke-218 arwah suami, Insya-ALLAH hari ini kita jumpa di pusaramu'


  • Tular
  • Selasa, 25 Mac 2025

Hantaran Facebook Aiza Syafinaz buat arwah suaminya, Mohd Fairos (kiri) sempena Hari Polis ke-218 mengundang sebak warga maya. — Gambar/FacebookAiza Syafinaz

SAMBUTAN Hari Polis ke-218 yang disambut penuh penghormatan dan penghargaan kepada wira negara turut disertai dengan pelbagai ucapan penghormatan di media sosial pada Selasa. 

Namun, di celah ribuan ucapan yang membanggakan pasukan keselamatan itu, satu hantaran menyentuh hati ramai apabila seorang balu pegawai polis mengenang pemergian suaminya lima tahun lalu.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di media sosial, Aiza Syafinaz Shahak mengambil kesempatan untuk mengenang jasa arwah suaminya. 

BACA LAGI :  'Tiada siapa boleh mengaku, saya bukan hero Lahad Datu'

BACA LAGI : Terpaksa menyelam seawal Subuh di Semporna, kesan tapak kaki dekat dinding jerat penjenayah 'wanted' di P.Pinang

"Selamat Hari Polis ke-218 kepada arwah suami, Inspektor Mohd Fairos Saberon. Esok (Rabu) genap lima tahun pemergianmu ke negara abadi. 

"Damailah di sana. Tak pernah lupa susah senang hidup bersama selama 10 tahun. Insya-ALLAH hari ini kita jumpa di pusaramu. Al-Fatihah," tulisnya di laman Facebook miliknya pada Selasa. 

Hanya tinggal kenangan :  Allahyarham Mohd Fairos (kiri) bersama isterinya Aiza Syafinaz. — Gambar/FacebookAiza Syafinaz

Memetik laporan media, Allahyarham Mohd Fairos disahkan meninggal dunia selepas positif Covid-19 pada 19 Mac 2020 sehari selepas sambutan Hari Polis yang ke-213. 

Lebih menyedihkan lagi Allahyarham sempat membuat panggilan video dan dan berpesan Aiza Syafinaz supaya menjaga dirinya. 

Hantaran berkenaan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, yang rata-rata meluahkan rasa simpati dan memberikan kata-kata semangat kepada Aiza Syafinaz. 

Banyak pihak turut mengambil kesempatan untuk mengenang jasa dan pengorbanan anggota polis yang telah gugur dalam menjalankan tugas.

Hari Polis ke-218 yang disambut pada Selasa bukan sekadar memperingati perjuangan pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara, tetapi juga sebagai penghargaan kepada keluarga mereka yang sentiasa menyokong dan berkorban.

Pengorbanan seperti yang ditunjukkan oleh Mohd Fairos dan keluarganya menjadi bukti bahawa tugas seorang anggota polis bukan sekadar satu kerjaya, tetapi sebuah amanah besar demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram