Konsep Amae faktor utama kanak-kanak Jepun berani ke sekolah sendiri, membesar dengan yakin


  • Bonda
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Konsep Amae yang terpakai di Jepun memberikan impak positif kepada perkembangan sosial kanak-kanak. — Agensi

KANAK-KANAK di Jepun dikenal pasti antara yang paling ramai membesar dengan yakin dan sentiasa berasa selamat.

Rahsianya bagaimanapun bukanlah bergantung pada peraturan ketat atau latihan berdikari sejak kecil.

Sebaliknya, ia bermula daripada budaya yang dikenali sebagai Amae iaitu konsep mendapatkan kasih sayang tanpa syarat.

BACA LAGI: Setahun jadi bapa tunggal, Fazley aktif didik anak-anak skil survival, 'wajib' mahir masak lauk tradisional

BACA LAGI: Akui sukar imbang akademik, kerjaya dan keluarga, Dr. Amalina buktikan mampu genggam PhD

Kanak-kanak di Jepun seawal usia enam tahun ke sekolah dalam kumpulan kecil tanpa pengawasan ibu bapa. — Agensi

Berdasarkan kajian antarabangsa, istilah Amae pertama kali diperkenalkan oleh pakar psikiatri Jepun, Takae Doi.

Ia bermaksud setiap anak perlu bergantung pada kasih sayang seseorang dengan harapan akan diterima sepenuhnya.

Di Jepun, sikap anak kecil yang tidak boleh berpisah, menangis atau mencari perhatian bukan dianggap sebagai perlakuan buruk, tetapi diterima sebagai tanda kepercayaan dan keakraban.

Ibu bapa biasanya akan bertindak balas dengan kasih sayang dan kesabaran, bukan dengan rasa malu atau marah.

Pendekatan itu membentuk situasi yang digelar ahli psikologi sebagai secure attachment yang menghubungkan emosi selamat antara ibu bapa dan anak.

Ia memberi mesej kepada kanak-kanak bahawa keperluan mereka tidak akan mengancam kasih sayang yang diterima.

Hasilnya, mereka membesar dengan lebih yakin dan berani meneroka dunia di sekeliling.

Kajian menunjukkan bahawa apabila tekanan emosi kanak-kanak disambut dengan kehangatan, sistem tekanan dalam otak seperti kortisol dan amigdala menjadi lebih tenang.

Manakala, otak yang mengawal kawalan diri, prefrontal cortex berkembang lebih kukuh.

Menurut kajian Behrens pada 2014 mendapati kanak-kanak Jepun yang kebergantungan mereka diterima oleh ibu bapa lebih cenderung membentuk hubungan yang selamat berbanding rakan sebaya di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, hasil kajian Rothbaum pada 2000 menunjukkan bahawa pergantungan awal sebenarnya meramal tahap keberanian dan keupayaan menyesuaikan diri yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Kajian Trommsdorff & Cole pada 2011 pula mendapati pelajar prasekolah di Jepun menunjukkan tahap empati dan kerjasama yang lebih tinggi.

Kanak-kanak berusia enam tahun di Jepun juga sudah biasa berjalan ke sekolah dalam kumpulan kecil tanpa pengawasan ibu bapa.

Kebebasan itu bukan datang daripada paksaan untuk berdikari, tetapi keyakinan bahawa mereka sentiasa mempunyai tempat selamat untuk kembali.

Konsep Amae juga tidak berhenti pada zaman kanak-kanak, malah berkembang menjadi sikap kebergantungan yang sihat dalam hubungan sosial dan emosi.

Mereka sekali gus cenderung untuk lebih memahami keperluan orang lain dan lahirlah sifat empati, kerjasama serta kepercayaan dalam komuniti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram