Warisan turun-temurun, 3 peniaga tak jemu hasilkan snek tradisional termasuk muruku setiap kali Deepavali


  • Bisnes
  • Jumaat, 10 Okt 2025

(Dari kiri) Sander, rakannya, Parvathy Ganeson dan anak perempuan Sander, T. Taashayini, sedang membungkus murukku untuk pelanggan di Bayan Baru. — The Star

 

 

TIDAK lengkap rasanya sambutan perayaan Deepavali tanpa kemeriahan makanan ringan dan manisan tradisional masyarakat India.

Walaupun sesetengah keluarga lebih suka memasaknya sendiri di rumah, ada juga yang bergantung pada hasil tangan lebih pakar untuk dihidangkan ketika perayaan.

Di Bayan Baru, Pulau Pinang, Sander Kumari Perumal, 55, antara pengusaha yang masih mengekalkan tradisi menghasilkan pelbagai kuih perayaan dari rumahnya.

BACA LAGI: Membesar di kampung Melayu, anak jati Johor ambil peluang hasilkan, eskport sos halal ke luar negara

BACA LAGI: Keluarga jadi sumber kekuatan, 2 beradik berani berhutang lebih RM350,000 buka bisnes organik dari rumah

Interview Sha Nanthini Daruman at Desa Mawar in Farlim.( October 02, 2025 ) — LIM BENG TATT/The Star

Sha Nanthini (kiri) dan kakak iparnya, Fairuza Abdul Rahman membuat nei urundai. — The Star

Aroma murukku yang baru digoreng sering menyambut tetamu yang berkunjung.

Antara hidangan yang menerima permintaan ramai termasuklah achi muruku (kuih ros), adhirasam (kuih denderam), kallu urundai (kuih batu), nei urundai (ghee balls) dan chittu urundai atau payatham urundai.

"Ini adalah makanan ringan perayaan yang perlu disediakan untuk Deepavali," katanya.

Dapurnya juga akan berubah menjadi sarang aktiviti pada hari-hari menjelang Deepavali.

Udara dipenuhi dengan bau minyak sapi, lantai dipenuhi tepung dan deretan gulungan murukku di atas dulang dari subuh hingga lewat malam.

"Saya biasanya bangun pada pukul 6 pagi dan mula bekerja pada pukul 7 pagi.

"Tidak menunggu pesanan, sebaik sahaja saya mula, saya tidak berhenti sehingga petang.

"Ia memenatkan tetapi juga bermanfaat," jelasnya.

Keistimewaan murukku Sander ialah chittu urundai yang dibuat dengan campuran bahan boleh bertahan selama enam bulan hingga setahun tanpa menggunakan bahan pengawet.

"Itulah kebijaksanaan orang tua kita.

"Tiada makanan tradisional kami yang sia-sia.

"Tetapi, apabila kami berhenti membuatnya, kami akan kehilangan ilmu itu," ujarnya.

Meskipun, bertahun lamanya menghasilkan produk sama, Sander tidak pernah putus mendapat tempahan daripada pelanggan setia.

Interview Santha Balu at Bayan Baru.( October 02, 2025 ) — LIM BENG TATT/The Star

Pelbagai hidangan snek perayaan untuk Deepavali termasuk adhirasam dan murukku. — The Star

Malah, mereka yang telah berpindah jauh juga tetap membeli daripadanya.

"Saya gembira kerana mereka masih menerima snek saya untuk perayaan Deepavali mereka," katanya.

Sebagai seorang wanita yang membesar di Cameron Highlands, Pahang, Sander masih ingat memori indah membantu ibu dan neneknya sepanjang musim perayaan.

Mereka juga bersama-sama membentuk murukku dan mengacau sirap jaggery untuk membuat adhirasam.

Kemahiran yang diturunkan dari generasi ke generasi itu juga kekal utuh dalam keluarga Sander.

Katanya, menghasilkan dan menjual murukku menjadi sumber pendapatan utama di kala usianya meningkat.

"Tiada siapa yang mahu mengupah kami apabila kami meningkat usia. Jadi, inilah yang membuatkan saya terus bertahan.

"Ia tentang kelangsungan hidup, tetapi juga sesuatu yang saya banggakan," tambahnya.

Meskipun ia bukanlah perniagaan berskala besar, tetapi ia cukup memadai untuknya.

Bagi Sander, tradisi bermaksud praktikal dan budaya.

Sneknya juga dijual pada harga mampu milik dengan satu balang berisi 50 biji murukku serendah RM30.

Manakala, Adhirasam dijual pada RM1.50 setiap satu, nei urundai dan chittu urundai pula RM25 sebalang.

"Saya hanya menaikkan sedikit harga apabila kos bahan meningkat. Tetapi, saya cuba memastikannya ia sentiasa terkawal.

"Jika orang tidak membeli, tradisi akan mati. Ini bukan sekadar makanan, ia adalah sebahagian daripada identiti kita.

"Deepavali tanpa murukku dan adhirasam tidak lengkap. Selagi saya mempunyai kekuatan, saya akan terus lakukannya," jelasnya.

Interview Santha Balu at Bayan Baru.( October 02, 2025 ) — LIM BENG TATT/The Star

Setiap murukku dibuat dengan berhati-hati dan berkualiti. — The Star

Tradisi disemai generasi muda

Berbeza dengan Sander, Sha Nanthini Daruman, 39, dari Desa Mawar, Bandar Baru Air Itam, Pulau Pinang memulakan langkah dalam bidang itu secara moden dengan hanya berbekalkan RM100 ketika pandemik Covid-19.

Ketika kebanyakan perniagaan terhenti, Sha Nanthini mula menjual kek brownies dan biskut hasil pembelajaran kelas dalam talian.

Bermula dengan memberi sampel percuma, dia kini mempunyai lebih 50 pelanggan tetap.

"Ketika itu, semua orang rindukan makanan buatan rumah. Dari situlah saya dapat keyakinan untuk teruskan," jelasnya.

Selepas menamatkan latihan profesional di sebuah akademi bakeri di Pulau Pinang, Sha Nanthini kini mengendalikan perniagaan kecil dari rumah dengan bantuan ibunya, Selvarani Kumar, 69, yang menyediakan murukku dan nei urundai.

Menurutnya, penghasilan biskut moden seperti almond london, tart Cadbury dan brownies sangat bersesuaian dengan cita rasa golongan muda.

Pun begitu, kuih tradisional ibunya juga masih dikekalkan agar ia dapat dinikmati oleh semua generasi.

Harga biskutnya antara RM36 hingga RM42 sebalang, manakala kuih tradisional antara RM27 hingga RM40.

Baginya, cabaran utama bukanlah sekadar persaingan, tetapi mengekalkan identiti perayaan.

"Saya mahu orang muda nampak Deepavali bukan sekadar tentang lampu dan pakaian baharu.

"Tetapi, tentang rasa yang mengimbau kenangan," katanya sambil menambah bahawa berhasrat membuka kafe kecil pada masa akan datang.

Interview Sha Nanthini Daruman at Desa Mawar in Farlim.( October 02, 2025 ) — LIM BENG TATT/The Star

Aneka gabungan kuih moden dan snek tradisional Sha Nantihini (kanan) sepanjang Deepavali. — The Star

Bagi P. Krishnaveni, 65, dari Tanjung Bungah, Deepavali juga membawa makna kebersamaan.

Bersama dua rakan baiknya, Krishnaveni masih setia menghasilkan pelbagai murukku tradisional setiap kali tiba musim perayaan.

"Kami duduk bersama, berbual dan menguli doh. Kadang-kadang bergurau sambil bekerja.

"Bila buat sama-sama, kerja rasa ringan. Mesin boleh cepatkan kerja, tetapi rasa tak sama.

"Bila uli dengan tangan, kita tahu bila doh dah cukup lembut," katanya.

Walaupun usianya kian lanjut, Krishnaveni tetap berharap agar dapat menyambung warisan berharga itu kepada cucunya. — The Star/R. SEKARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram