
PAKAR bedah kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di United Kingdom, Dr. Amalina Bakri meluahkan rasa syukur selepas berjaya menamatkan pengajian dalam peringkat doktor falsafah (PhD) baru-baru ini.
Beliau pada masa sama berkongsi perjalanan yang penuh dengan cabaran demi menyeimbangkan kerjaya, pengajian dan pengurusan keluarga.
Mengimbau kembali detik bersejarah dalam hidupnya, ibu kepada dua orang anak itu tidak menafikan tugas akademik dan kerjaya perubatannya menjadi antara cabaran terbesar dalam perjalanan tersebut.
BACA LAGI: Selamba suap bayi 8 bulan roti shawarma, wanita trauma tinggal anak dengan ibu mentua
BACA LAGI: Solidariti Farah Lee di KLIA guna baju-T putih sebagai hijab dianggap kurang sesuai, bukan darurat
Hidupnya juga banyak berubah apabila beliau mendirikan rumah tangga dan bergelar seorang ibu di kala sedang berjuang menuntut ilmu.
"Tiba-tiba hidup saya bukan hanya tentang kertas penyelidikan dan panggilan hospital lagi.
"Ia berubah dengan rutin suapan malam, tumbuh gigi dan mencari detik-detik berehat di antara semua perkara.
"Mengimbangi PhD, kerja dan kehidupan keluarga adalah sangat sukar. Waktu malam saya rawat bayi yang sakit sambil bimbang tentang tarikh akhir tugas.
"Pagi pula saya pergi masuk kerja di hospital dengan hanya tidur dua jam. Selepas siap tesis, saya hamil anak kedua dan ia detik yang menjadikan perjalanan ini lebih istimewa," katanya.
Menurutnya, pengalaman itu mengajarnya bahawa kekuatan bukan terletak pada kesempurnaan, tetapi kemampuan untuk terus bertahan dan meneruskan langkah walau dalam keletihan.
Dr. Amalina turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada suami, ahli keluarga serta pihak penyelia universitinya atas sokongan serta dorongan yang diberikan.
"Mereka adalah tunjang dan PhD ini untuk mereka.
"Penyelidikan saya fokus pada teknologi dan bagaimana ia boleh membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara.
"Apabila keadaan menjadi sukar, saya memikirkan wanita kuat dan berani yang memberi inspirasi kepada saya untuk terus maju.
"Kepada semua wanita, terutama ibu yang bekerja, belajar dan berkeluarga.
"Anda tidak perlu menjadi sempurna. Teruskan sahaja, selangkah demi selangkah," jelasnya.
Wanita asal Kota Bharu, Kelantan itu sebelum ini menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan di University of Edinburgh dan menyambung kajian kedoktorannya di Imperial College London, United Kingdom (UK).
Mendirikan rumah tangga dengan warga British, mereka juga dikurniakan dua cahaya mata yang dilahirkan di Hospital St Thomas London. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram