
BERKAT ketekunan dan kesabaran, usahawan dari Pasir Gudang, Johor ini berjaya mencipta nama dalam industri pemprosesan makanan di Malaysia.
Bercita-cita besar membina empayar perniagaan, Poobalan Pannusamy yang merupakan pengasas Mamas M&M Sdn Bhd kini menjadi antara pengusaha sos tempatan yang kian mendapat tempat di hati pengguna.
Bermula secara kecil-kecilan di sebuah rumah kedai, Poobalan memulakan perjalanan dengan menghasilkan sos cili, tomato dan tiram.
BACA LAGI: Selamba suap bayi 8 bulan roti shawarma, wanita trauma tinggal anak dengan ibu mentua
Antara rangkaian produk dihasilkan oleh Mamas.
Berbekalkan ilmu yang diperolehinya dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), anak jati Johor itu sentiasa mencuba sebelum akhirnya mendapat formulasi terbaik buat penghasilan sos sedia dimakan.
Katanya, setiap aspek dititikberatkan daripada tekstur, warna dan rasa agar ia sesuai dengan selera rakyat Malaysia.
"Kalau sos cili, kita pastikan ada rasa pedas, masam dan manis. Ketiga-tiga ini perlu seimbang.
"Untuk sos tiram pula kami tidak gunakan sekadar perasa, dan memang proses daripada bahan-bahan berkualiti," katanya kepada Majoriti.
Selepas melihat sambutan yang memberangsangkan, Poobalan mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan rangkaian produk lain seperti kicap dan cuka putih.
Menurutnya, kicap buatan Mamas lebih istimewa kerana ia melibatkan proses kacang soya fermentasi yang mengambil masa beberapa bulan.
Kilang Mamas yang kini diiktiraf halal dan mendapat kelulusan KKM. — Mamas
"Proses fermentasi itu untuk kita dapatkan air kacang yang berkualiti.
"Kita pastikan setiap bahan mentah disemak dan ditandatangani mengikut piawaian halal.
"Kualiti dan kepercayaan pelanggan itu nombor satu," jelasnya.
Meskipun bukanlah penganut agama Islam, Poobalan amat mementingkan kebersihan dan keselamatan setiap makanan yang dihasilkan di kilangnya.
Kini, kilang Mamas M&M beroperasi di Halal Park, Pasir Gudang lengkap dengan pensijilan halal dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta sokongan daripada SME Corp dan Halal Development Corporation (HDC).
Ditanya pula tentang pemilihan produk untuk perniagaannya, Poobalan memberitahu bahawa ideanya diinspirasikan daripada pengalamannya ketika membesar di kawasan perkampungan masyarakat Malayu.
"Sebenarnya, tak ramai masyarakat India terlibat dalam pembikinan sos dan kicap terutama di Johor.
"Bukan itu sahaja, kalau tengok orang Malaysia sangat sukakan makanan, begitu juga saya.
"Waktu 1990-an, tidak banyak yang halal, jadi saya ambil peluang itu bermula 1997 untuk jadi pembekal sos halal di restoran dan kedai-kedai.
"Saya juga membesar di kawasan penduduk Melayu di Plentong, Johor. Dari umur lima tahun, saya makan nasi putih dengan telur goreng dan kicap manis.
"Makanan itulah yang membentuk rasa saya hari ini. Sebab itu sos keluaran kami ikut cita rasa Malaysia," ujarnya.
Sos cili dihasilkan mengikut cita rasa rakyat Malaysia. — Mamas
Apalah erti berniaga jika tiada cabaran, Poobalan tidak menafikan permainan harga dan bencana alam sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keuntungannya.
Menurutnya, margin keuntungan Mamas pernah jatuh daripada 30 peratus kepada 18 peratus selepas pandemik Covid-19.
Cabaran itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus bangkit meneruskan perniagaan.
Selain memasarkannya di seluruh Malaysia, Poobalan kini menyasarkan untuk memasuki pasaran antarabangsa iaitu di Singapura, Indonesia dan Kemboja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram