Murid bukan sekadar menghafal, sistem KP2026 ubah cara belajar pra sekolah lebih kreatif dan dwibahasa


  • Bonda
  • Khamis, 09 Okt 2025

Murid pra sekolah bakal menjalani sistem kurikulum baharu iaitu KP2026 yang lebih menekankan kepada cara kerja kreatif dan pengalaman. — Gambar hiasan/Janaan AI

DI zaman moden ini, pendidikan awal kanak-kanak bukan lagi sekadar mengajar membaca dan mengira seawal mungkin.

Sebaliknya, tumpuan kini beralih kepada pembentukan anak yang kreatif, berfikir secara kritikal dan mampu menyesuaikan diri dengan dunia sebenar.

Selaras dengan keperluan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan sistem baharu iaitu Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) yang bakal dilaksanakan mulai tahun hadapan.

BACA LAGI: Pernah dilabel 'gadis tercantik dunia', Thylane Blondeau diuji buang cyst ovari, nafi buat pembedahan kosmetik

BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah

Kaedah sistematik itu menggantikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang digunakan sejak lebih sedekad lalu dan membawa pendekatan yang jauh berbeza daripada sebelumnya.

Turut berkongsi pendapat berhubung perkara itu ialah Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Saleemah Zakaria yang tampil menjelaskan beberapa penambahbaikan dalam kurikulum baharu tersebut.

 

 

Jelasnya, perkara itu sewajarnya menjadi keutamaan khususnya buat ibu bapa agar turut sama cakna akan sistem pembelajaran anak-anak di peringkat pra sekolah kelak.

"Ramai ibu bapa belum tahu mulai 2026, anak prasekolah tak lagi guna KSPK (Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan).

"Perubahan ni bukan sekadar tukar nama, ia tukar cara anak belajar, cara cikgu mengajar dan cara kita lihat pandai itu sendiri," ujarnya di laman Threads.

 

Bukan sekadar menghafal

Sebelum ini, pendekatan KSPK banyak tertumpu kepada pembelajaran berasaskan lembaran kerja (worksheet) dan pencapaian akademik yang lazimnya melabel anak yang cepat membaca dan mengira sebagai ‘bijak’.

Namun, di bawah sistem baharu itu, kaedah tersebut berubah sepenuhnya dan kanak-kanak akan belajar melalui projek, penerokaan dan pengalaman sebenar, manakala guru berperanan sebagai pembimbing serta fasilitator.

Tunjang utama KP2026 menekankan aspek nilai, adab dan kesejahteraan menyeluruh (HEART) supaya perkembangan murid bukan sahaja diukur melalui akademik, tetapi juga emosi serta sosial.

 

Antara tujuh kompetensi utama yang diterapkan ialah:

- Perkembangan diri dan emosi

- Kemahiran komunikasi

- Tanggungjawab dan nilai

- Literasi pelbagai

- Kemahiran berfikir kritikal

- Kreativiti dan kerjasama sosial

- Kesedaran kesejahteraan diri dan komuniti

 

Cara kerja dan pembelajaran kanak-kanak pra sekolah akan lebih tertumou kepada kualiti pemahaman di bawah sistem KP2026. — Gambar hiasan/Janaan AI

 

 

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berdasarkan laporan media, KP2026 telah dirintis di 34 prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), lima Tabika KEMAS, tiga Tabika Perpaduan dan lapan tadika swasta.

Pelaksanaan penuh pada 2026 akan dibuat selepas meneliti dapatan daripada fasa uji rintis serta maklum balas daripada pelaksana di lapangan.

Bagi memastikan keberkesanan, KPM juga telah merancang penataran dan latihan guru prasekolah dari Jun hingga November 2025 melibatkan guru daripada agensi kerajaan dan sektor swasta.

 

Penggunaan dwibahasa

Salah satu pembaharuan menarik ialah penggunaan dwibahasa secara seimbang, iaitu 50 peratus Bahasa Melayu dan 50 peratus Bahasa Inggeris dalam pembelajaran.

Langkah itu bertujuan memperkukuh kemahiran bahasa dan komunikasi anak sejak awal, seiring keperluan global serta dasar pendidikan negara.

Pelaksanaan KP2026 secara tidak langsung menuntut perubahan cara berfikir dalam kalangan ibu bapa.

Kejayaan anak bukan lagi diukur pada seberapa cepat mereka membaca atau mengira, tetapi pada keupayaan mereka berfikir, bekerjasama, adab dan empati terhadap seseuatu perkara.

Dengan pelaksanaan kurikulum baharu itu, kanak-kanak Malaysia diyakini bukan hanya cemerlang di atas kertas, tetapi menjadi generasi kreatif, seimbang dan bersedia menghadapi masa depan yang mencabar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram