
PROSEDUR atau proses penceraian yang dituntut di mahkamah sememangnya memerlukan kerjasama daripada kedua-dua belah pihak iaitu bekas suami dan isteri.
Kegagalan seorang daripada bekas pasangan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang tempoh ditetapkan juga boleh memberi kesukaran untuk menyelesaikan konflik.
Sama seperti kes tular melibatkan seorang bekas suami yang enggan hadir ke perbicaraan mahkamah atas kes memberi nafkah.
BACA LAGI: Tahan pintu guna badan, aksi berani ibu 2 anak berjaya halang perompak pecah masuk rumah
Justeru, peguam syarie, Nurul Atikah tampil memberi penjelasan bagi mengurangkan kebimbangan terutama kepada para wanita yang berdepan dengan situasi sedemikian.
Menurutnya, kes masih boleh diteruskan dengan hanya mengambil keterangan sebelah pihak iaitu bekas isteri.
Ia juga terpakai apabila bekas suami dengan sengaja enggan hadir ke mahkamah walaupun sudah menerima saman lengkap.
Jelasnya, mahkamah boleh menutup ruang pembelaan daripada bekas suami.
"Jangan gelabah, jangan risau kalau bekas suami tak nak hadir ke mahkamah, yang penting serahan saman berjaya.
"Hakim tak akan dengar pembelaan daripada pihak bekas suami. Bila dapat sahaja perintah nafkah dari mahkamah, pergi bawa perintah itu depan muka dia supaya dia tahu perintah nafkah dah keluar walaupun dia tak hadir.
"Jika dia masih tak bagi nafkah, buat saman penghutang penghakiman untuk kenakan tindakan komital jika masih ada tunggakan nafkah.
"Kerana setiap kegagalan dalam memberikan nafkah mengikut perintah dikira sebagai tunggakan dan boleh dikenakan tindakan penjara atau komital apabila masih gagal membayarnya," tegasnya.
Beliau pada masa sama turut menasihatkan agar para wanita tidak berputus asa untuk terus menuntut hak tersebut di mahkamah.
Penjelasan itu bagaimanapun dilakukan susulan munculnya sebuah video memaparkan seorang wanita menyerahkan perintah saman kepada bekas suaminya.
Lebih menjadi perbualan hangat apabila tindakan tersebut dilakukan ketika majlis perkahwinan bekas suaminya dengan isteri baharu di sebuah masjid.
Menurut wanita berkenaan, saman tersebut terpaksa diberikan selepas bekas suaminya mengelak untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan nafkah selama lima kali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram