
SOKONGAN dan dorongan daripada keluarga mampu membantu dua beradik dari Taranaki, New Zealand menjalankan perniagaan.
Berbekalkan semangat keusahawanan yang tinggi, Ashley Howard, 18, dan adiknya, Caitlin Howard, 17, berjaya melebarkan sayap dalam bidang pertanian menerusi ladang milik ibu bapanya di rumah.
Berbeza dengan rakan sebaya lain yang mungkin memilih untuk melanjutkan pengajian ke universiti, dua beradik tersebut mula menghasilkan pelbagai rangkaian manisan dan menjual telur ayam kampung.
BACA LAGI: Pernah tidur atas sofa, jutawan terkenal AS masih basuh baju sendiri, obses dengan AI
Caitlin menguruskan ternakan ayam yang dibela di ladang belakang rumahnya. — Agensi
Perniagaan Cake Obsession diuruskan oleh Ashley manakala, Caitlin fokus mengusahakan Egg Obsession di ladang belakang rumahnya.
Asyley juga memulakan operasi perniagaannya bermula akhir 2024 dengan menghasilkan pelbagai kek buat pelanggan di sekitar Taranaki.
Perniagaan itu kemudiannya berkembang pesat sehingga dia terpaksa mengupah teman baiknya, Charlotte Muggeridge sebagai rakan kongsi.
Mereka juga sering bekerja hingga larut malam demi menyiapkan tempahan segera pelanggan.
Menurut ibunya, Diane Howard, minat Ashley terhadap dunia bakeri ternyata terserlah sejak kecil.
"Kami tinggal di kawasan pergunungan dan ladang, makanan kami kebanyakannya sihat.
"Jadi, anak-anak memang selalu mengidam makanan manis.
"Ashley buat kek pertamanya ketika berusia kira-kira tujuh tahun," katanya.
Jualan kek dan manisan dijalankan setiap Ahad. — Agensi
Daripada sekadar hobi, minat tersebut akhirnya berkembang menjadi satu bisnes utama yang kini dijalankan secara sambilan kerana Ashley turut bekerja separuh masa di sebuah restoran.
Menariknya, dua beradik itu juga menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta logo dan label jenamanya sendiri serta sedang membina laman web perniagaan masing-masing.
Mereka menjual kek dan telur di Taranaki Farmers’ Market setiap Ahad dan menerima tempahan dalam talian.
Menurut Diane, kejayaan anak-anaknya merupakan hasil kerjasama seluruh ahli keluarga.
Katanya, hidup di ladang sememangnya sudah sedia sibuk, tetapi lebih mencabar dengan tambahan dua perniagaan baharu anak-anaknya.
"Semua orang sibuk, tetapi semua orang juga main peranan.
"Bila masa kerja tiba, semua turun padang. Tak ada istilah tangguh esok," jelasnya.
Charlotte Muggeridge yang merupakan teman baik Ashley. — Agensi
Selain ahli keluarga, teman lelaki Ashley dan Caitlin itu turut menghulurkan bantuan dengan membantu menguruskan proses penghantaran dan penjagaan ayam.
Perniagaan mereka pada masa sama dibantu oleh seorang mekanik, Bryce yang menguruskan semua jentera di ladang dan menjadi tukang masak utama dalam keluarga tersebut.
Setiap malam, Bryce akan menyediakan makan malam untuk 10 orang termasuk ahli keluarga yang tinggal berhampiran.
Bagi Caitlin, usahanya bermula Februari lalu selepas percubaan kecil memelihara ayam kampungnya berjaya.
Meskipun belum cukup umur untuk menjadi pengarah syarikat, dia tetap berani mengambil risiko dengan pinjaman kira-kira NZ$150,000 (RM368,020) bagi memulakan perniagaan.
Kata Diane, berhutang pada permulaan bisnes bukanlah perkara yang terlalu dibimbangi.
"Saya pun dahulu mula dengan hutang. Saya mula berkongsi urus niaga lembu dengan ayah ketika umur 18 tahun," katanya.
Karavan khusus yang diubah suai untuk kegunaan pengurusan ternakan ayam. — Agensi
Dengan pengalaman itu, Diane mengaplikasikan sistem penternakan lembunya untuk ayam Caitlin.
Ayam-ayamnya dibesarkan secara bebas di padang rumput dan tidur di dalam 'karavan ayam' mudah alih yang dipindahkan setiap hari.
Tidak seperti ayam komersial, ayam ternakan Caitlin dibiarkan hidup di luar dan bebas mencari makanan semula jadi.
Makanan ayamnya pula menggunakan campuran soya, sekam, minyak biji rami, barli dan jagung tanpa sebarang protein haiwan.
Diet tersebut sekali gus menghasilkan telur yang lebih tinggi protein dan rendah lemak tepu.
"Sistem ini memastikan ayam bebas tapi tetap selamat. Setiap hari kami pindahkan mereka supaya sentiasa di padang rumput segar," kata Caitlin.
Dia juga baru-baru ini mengambil rakan kongsi, Nestor Eligado, untuk membantu operasi harian.
Sambutan daripada masyarakat juga amat memberangsangkan baik secara langsung mahupun di media sosial.
"Saya sangat bangga. Orang ramai benar-benar menghargai usaha mereka. Ramai yang baik hati dan mahu lihat mereka berjaya," ucap Diane. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram