
PESAWAT yang membawa 23 aktivis Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa malam.
Mereka yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum itu berlepas dari Istanbul, Turkiye, disambut ratusan orang ramai yang menunggu di Terminal 1 KLIA.
Selain itu, kira-kira 50 wartawan dan pengamal media turut menanti ketibaan peserta misi bantuan kemanusiaan tersebut dengan masing-masing teruja untuk mengetahui perkembangan kesemua aktivis terbabit.
BACA LAGI: Belajar dari Changi, teroka potensi AI transformasi KLIA pacu produktiviti industri pelancongan
BACA LAGI: Dewan Rakyat: Counter-Setting KLIA, 26 penguat kuasa dibuang kerja — Saifuddin
Misi GSF membawa barang keperluan asas kepada penduduk tidak bernasib baik di Gaza, Palestin.
Antara rakyat tempatan yang menyertai misi terbabit merupakan artis tempatan, Zizi Kirana dan Haliza Helmi serta beberapa pempengaruh media sosial, termasuk Zainal Rashid Ahmad.
Pelayaran GSF sebelum ini bermula pada 31 Ogos lalu melibatkan 42 buah kapal yang membawa kira-kira 500 aktivis antarabangsa termasuk 23 dari Malaysia.
Walaupun pelayaran rasmi bermula dari Barcelona di Sepanyol, sebahagian delegasi menyertai flotila pada awal September, termasuk kumpulan kedua yang dijadualkan berlepas dari pelabuhan Itali pada 4 September lepas dan kumpulan ketiga dari Tunisia.
Kesemua peserta GSF dari dalam negara selepas dibebaskan dari tahanan rejim Zionis.
Pada 8 dan 9 September, ketika flotila singgah dan berlabuh di Tunisia, kapal-kapal mereka dilaporkan menjadi sasaran serangan dron Israel yang menyebabkan berlakunya kebakaran dan kerosakan pada beberapa kapal.
Serangan tersebut juga menandakan bermulanya ancaman sebenar ke atas flotila ketika mereka sudah memasuki Zon Kuning, iaitu kawasan yang dikenal pasti berisiko sederhana sepanjang pelayaran.
Namun, seperti yang dijangkakan, pihak Sumud Nusantara Command Centre berpangkalan di Sepang, Selangor menerima 10 laporan dari flotila Malaysia yang menyaksikan rejim Israel menghalang dan mengepung kawasan flotila yang sedang berlayar pada Khamis lalu.
Kesemua peserta kemudian ditahan, namun tindakan pantas kerajaan Malaysia membolehkan mereka dibebaskan segera sebelum dibawa pulang dengan bantuan kerajaan Turkiye. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram