
RAMAI rakyat Malaysia, terutamanya pembeli rumah kali pertama, terkejut apabila mendapati kos sebenar untuk memiliki rumah jauh lebih tinggi daripada deposit 10 peratus yang dianggarkan.
Selain deposit, pelbagai caj tambahan seperti yuran guaman, duti setem, kos penilaian, insurans pinjaman bank dan kos pelaksanaan boleh meningkatkan jumlah bayaran awal sehingga 12-15 peratus daripada harga rumah.
Perkongsian ejen hartanah, Azlan Nizam, di Facebook mendedahkan realiti itu menerusi pengalaman seorang pembeli yang menyangka RM50,000 cukup untuk deposit rumah berharga RM500,000, tetapi akhirnya memerlukan lebih RM80,000.
BACA LAGI: Bandar-bandar ‘hantu’ di Jerman cuba tarik penduduk baharu melalui 'trial living'
Seorang rakan Azlan teruja menemui rumah idaman berharga RM500,000.
Dalam kepalanya, beliau mengira, "Deposit 10 peratus sahaja, RM50,000. Selesai!"
Namun, selepas berbual dengan ejen, peguam dan pegawai bank, beliau tersentak apabila mengetahui simpanannya tidak cukup.
Kos sebenar bukan hanya deposit, tetapi termasuk yuran-yuran lain yang wajib dibayar.
Ramai pembeli pertama terperangkap kerana hanya memfokuskan pada deposit tanpa mengambil kira kos sampingan yang besar.
Azlan menyenaraikan kos-kos tambahan yang sering diabaikan oleh pembeli rumah:
- Yuran guaman (SPA dan pinjaman): Memastikan urus niaga sah di sisi undang-undang.
- Duti setem (MOT dan pinjaman): Cukai wajib untuk pemindahan hak milik dan dokumen pinjaman.
- Yuran penilaian: Caj untuk jurunilai hartanah bertauliah.
- Insurans pinjaman (MRTA/MRTT/MLTA): Perlindungan untuk pinjaman bank.
- Kos pelaksanaan: Caj carian hak milik, pendaftaran, dan kurier.
Kos itu, apabila digabungkan boleh meningkatkan jumlah bayaran awal dengan ketara.
Untuk memudahkan pemahaman, Azlan memberikan pecahan kos:
Ramai pembeli rumah pertama terkejut apabila mendapati kos sebenar jauh melebihi deposit. — Gambar hiasan
Rumah RM300,000
- Deposit (10 peratus): RM30,000
- Yuran guaman: RM6,500
- Yuran penilaian: RM1,000
- Duti setem MOT: RM5,000
- Duti setem pinjaman: RM1,350
- Insurans MRTA: RM5,000
- Jumlah: RM49,000
Deposit 10 peratus hanyalah permulaan, bukan jumlah akhir yang perlu disediakan. — Gambar hiasan
Rumah RM500,000
- Deposit: RM50,000
- Yuran guaman: RM11,000
- Yuran penilaian: RM1,500
- Duti setem MOT: RM9,000
- Duti setem pinjaman: RM2,250
- Insurans MRTA: RM8,000
- Jumlah: RM82,000
Yuran guaman dan duti setem antara kos tersembunyi yang sering dilupakan pembeli. — Gambar hiasan
Rumah RM1,000,000
- Deposit: RM100,000
- Yuran Guaman: RM19,000
- Yuran Penilaian: RM3,000
- Duti Setem MOT: RM24,000
- Duti Setem Pinjaman: RM4,500
- Insurans MRTA: RM15,000
- Jumlah: RM165,000
Pandangan pengguna media sosial
Perkongsian Azlan mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Norfazila Mohammad Noor mengeluh tentang proses jual beli rumah di Malaysia yang memakan masa sehingga setahun setengah, berbanding pengalamannya di Australia yang lebih pantas dan mudah.
Manakala, Shidah Khoo pula berkongsi bahawa kos tambahan untuk rumah subsale lebih tinggi berbanding rumah baharu dan menasihatkan pembeli membuat kajian melalui laman seperti PropertyGuru.com.
Dalam pada itu, Rosli Nasri Lee menambah, kos pinjaman dan faedah bank boleh meningkatkan jumlah bayaran hampir 100 peratus daripada harga pinjaman asal.
Nasihat untuk pembeli rumah
Azlan menegaskan, bajet untuk membeli rumah bukan sekadar deposit.
"Sediakan lebih kerana kos tambahan boleh mencapai separuh daripada deposit lagi," katanya.
Bagi pembeli pertama, adalah penting untuk membuat kajian menyeluruh dan berbual dengan ejen hartanah serta peguam untuk memahami semua kos yang terlibat.
Dengan perancangan kewangan yang rapi, impian memiliki rumah idaman boleh menjadi kenyataan tanpa kejutan tidak diingini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram