Kasih Iris Leona beli kereta pertama, Proton eMAS 7 warna 'pink' sesuai dengan jiwanya


  • Maya
  • Isnin, 06 Okt 2025

Leona tersenyum ceria di sisi kereta baharu Proton eMAS 7 berwarna merah jambu yang menjadi simbol pencapaian pertamanya.

LANGKAH pertama menuju ke alam dewasa sering kali diingati dengan penuh bangga dan bagi Kasih Iris Leona, pembelian kereta pertama menjadi titik tolak baharu di dalam hidupnya.

Anak kepada pelakon serta arkitek terkenal Azhar Sulaiman, telah mencuri perhatian warganet dengan aksi lincahnya di kala mempersembahkan kereta baharunya, Proton eMAS 7 berwarna 'pink' lembut.

Meskipun baru berusia 23 tahun, personaliti media sosial yang sering mencuri perhatian dengan gaya ceria dan selamba itu meluahkan rasa terharu serta gembira atas pembelian aset pertamanya.

Leona, yang mula dikenali sebagai anak selebriti sebelum membina namanya sendiri di platform digital, berkongsi berita itu di media sosial dengan nada penuh keterujaan.

BACA LAGI: Laluan baharu muzium Mesir beri peluang pengunjung berjalan kaki terus ke Piramid Giza

BACA LAGI: Apartmen distopia dikenali 'bandar menegak' didiami 30,000 penduduk, unit rumah, pusat beli-belah, pejabat dalam satu kompleks

"Saya beli kereta pertama saya, beep beep," kata Leona di Instagram.

Kegembiraan itu turut dikongsi oleh bapanya, Azhar, yang meluahkan rasa bangga dan syukur atas pencapaian anak gadisnya itu.

"Tahniah, syukur alhamdulillah. Saya dan mommy sangat bangga awak dah beli kereta pertama awak," katanya sambil berseloroh agar Leona berlatih memandu di sekitar halaman rumah dahulu sebelum turun ke jalan sebenar.

Menariknya, Leona mengaku secara jujur dan bersahaja bahawa buat masa ini orang lain akan memandu kereta baharunya itu.

Katanya, "Saya dah ada lesen, tapi belum pandai sangat nak drive. Jadi, biarlah orang lain bawa dulu."

Pengakuan itu mengundang senyum dan gurauan ramai pengikutnya yang menganggap ia sangat 'Leona-style' kerana penuh kejujuran, spontan dan mencuit hati.

Walaupun masih belum mahir memegang stereng, pemilihan warna pink untuk Proton eMAS 7 jelas mencerminkan personaliti Leona yang feminin dan ceria.

Warna itu turut menjadi simbol kepada cita rasa muda yang ingin berdikari dan meraikan kejayaan dengan caranya sendiri.

Bagi Azhar dan isterinya, pencapaian kecil ini membawa makna besar.

Ia bukan sekadar tentang memiliki kereta baharu, tetapi lambang kematangan dan usaha anak gadis mereka dalam membina kehidupan sendiri.

Bagi Leona, Proton eMAS 7 bukan sekadar pengangkutan kerana ia simbol kebebasan dan usaha keras yang membuahkan hasil.

Walaupun masih dalam fasa belajar memandu dengan yakin, pembelian itu menandakan satu bab baharu dalam perjalanan hidupnya sebagai wanita muda yang kian berdikari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram