Songket benang emas hiasi dinding, sudut kediaman moden, angkat nilai estetika tekstil warisan


  • Hias
  • Selasa, 07 Okt 2025

Songket diberi nafas moden sebagai hiasan dinding eksklusif yang menyatukan nilai warisan dan sentuhan kontemporari dalam ruang kediaman.

DALAM dunia reka hias dalaman yang kian bereksperimen dengan pelbagai gaya moden dan minimalis.

Kehadiran elemen tradisional seperti songket mula mencuri perhatian semula.

Bukan lagi sekadar kain eksklusif untuk busana rasmi, songket kini muncul sebagai karya seni yang memperindahkan ruang kediaman.

BACA LAGI: Bandar-bandar ‘hantu’ di Jerman cuba tarik penduduk baharu melalui 'trial living'

BACA LAGI: 'Thank you Wana', sikap prihatin seorang wanita buat Ummi Nazeera tersentuh hati, lindungi belakang ada kesan 'datang bulan'

Di tangan kreatif Pengasas Lunnis Batik, Noor Anisa Ahmad, 33, tenunan warisan Melayu ini diterjemahkan ke dalam konteks baharu apabila dijadikan perhiasan dinding, meja dan ruang tamu moden dengan penuh bergaya.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Tekstil daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Noor Anisa menubuhkan Lunnis Batik atas semangat memperkasakan warisan tekstil Melayu.

Lunnis Batik turut menjual aksesori wanita seperti beg kisslock, clutch, cermin dan lipstick case.

Bermula dengan pembuatan aksesori wanita seperti beg kisslock, clutch, cermin dan lipstick case daripada kain batik serta songket.

Beliau kini berhasrat membawa elemen tekstil tradisi itu lebih jauh ke dalam dunia dekorasi rumah.

"Songket bukan sekadar pakaian rasmi atau simbol kebesaran, ia sebenarnya satu karya seni halus yang boleh diangkat menjadi elemen estetik dalam kediaman moden," katanya kepada Majoriti.

Bagi Anisa, keindahan songket terletak pada kehalusan tenunan tangan dan kilauan benang emas dan perak yang menjadikannya unik.

Pengasas jenama Lunnis Batik, Noor Anisa Ahmad.

Maka tidak hairan apabila beliau melihat potensi besar untuk menjadikan songket sebagai bahan hiasan dinding atau wall art bernilai tinggi.

"Bayangkan sekeping kain songket yang diletakkan dalam bingkai logam emas, ia bukan sahaja mewah, malah menjadi titik tumpu dalam ruang tamu.

"Sentuhan tradisi itu memberi jiwa dan roh kepada ruang moden,” katanya penuh semangat.

Selain wall art Anisa turut melihat potensi songket sebagai table runner, kusyen sofa atau hiasan bunga dalam pasu, yang mampu menyerlahkan suasana ruang tanpa perlu berlebihan.

Gabungan warna pastel dan benang emas memberi aura mewah pada ruang tamu. Bibah Songket

Apabila ditanya bagaimana untuk mengekalkan keseimbangan antara tradisi dan estetika moden, Noor Anisa menyarankan penggunaan warna lembut dan pastel, serta menggabungkan songket dengan elemen moden seperti logam, kaca dan kayu.

"Kalau kita padankan dengan warna kelabu, perak, atau putih, corak tradisional seperti pucuk rebung atau tampuk manggis akan nampak lebih elegan dan tidak ketinggalan zaman," ujarnya.

Menurut Noor Anisa, setiap helaian songket sebenarnya membawa cerita dan nilai budaya tersendiri.

Dengan menempatkannya di ruang kediaman, pemilik rumah secara tidak langsung turut meraikan sejarah dan warisan bangsa.

Dalam pada itu, Anisa menekankan bahawa masyarakat Malaysia masih sering melihat songket sebagai busana rasmi dan bukannya seni harian.

Namun, perubahan gaya hidup dan minat terhadap dekorasi berunsur warisan kini semakin meningkat, terutama dalam kalangan golongan muda yang gemar gaya eclectic dan heritage-modern.

"Generasi muda kini lebih terbuka. Bila mereka nampak songket digunakan dalam konteks moden seperti dalam kafe, showroom atau hotel butik mereka akan lihat ia sebagai sesuatu yang cool dan versatil," katanya.

Untuk mendidik masyarakat, Noor Anisa juga mencadangkan kolaborasi antara pereka tekstil dan jenama moden seperti kopi, aksesori atau streetwear, agar songket terus relevan dalam dunia hari ini.

Hiasan dinding berasaskan songket tampil sebagai simbol kebanggaan budaya tempatan. Bibah Songket

Apabila ditanya tentang impian masa depan, Noor Anisa berkongsi hasrat untuk melancarkan koleksi hiasan rumah bertemakan "Tenun Kontemporari", yang menggabungkan warna pastel dan moden.

Koleksi itu bakal menampilkan produk seperti kusyen sofa, lampu hiasan, table runner dan bingkai dinding berasaskan songket.

"Saya mahu menunjukkan bahawa warisan budaya bukan sekadar nostalgia. Ia boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden penuh indah, bergaya dan penuh makna,” jelasnya.

Melalui visi dan sentuhan seni Noor Anisa, songket bukan lagi sekadar simbol tradisi, tetapi transformasi warisan menjadi elemen dekorasi penuh nilai dan personaliti.

Dari dinding ke ruang tamu, helaian tenunan ini kini hidup semula bukan di istana, tetapi di rumah setiap insan yang menghargai seni dan sejarah bangsanya.

Sementara itu, selain Lunnis Batik, di Terengganu pula terdapat Bibah Songket yang turut sama mengangkat seni songket melalui produk hiasan rumah sebagai bingkai gambar.

Keunikan produk mereka terletak pada identiti menggabungkan warisan tradisional dengan estetika moden untuk ruang kediaman yang elegan dan cantik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram