Wanita periang, aktif maraton meninggal dunia, doktor salah diagnosis sekadar alahan biasa


  • Maya
  • Selasa, 07 Okt 2025

Georgia meninggal dunia secara mengejut selepas doktor tersilap menganggap simptom seriusnya sebagai alahan biasa.

KEMATIAN tragis seorang wanita di United Kingdom menggemparkan ramai selepas disahkan meninggal dunia beberapa hari selepas doktor tersilap diagnosis simptomnya sebagai alahan biasa.

Georgia Taylor, 24, yang sebelum ini aktif dan baru sahaja menamatkan London Marathon pada April lalu, disahkan meninggal dunia di hospital pada 21 Ogos sehari selepas dimasukkan akibat kesihatannya merosot mendadak.

Menurut laporan New York Post, Georgia mula mengalami simptom sejak Jun lalu dengan ruam pada jari yang disangkanya berpunca daripada cincin dipakainya.

BACA LAGI: Bandar-bandar ‘hantu’ di Jerman cuba tarik penduduk baharu melalui 'trial living'

BACA LAGI: 'Thank you Wana', sikap prihatin seorang wanita buat Ummi Nazeera tersentuh hati, lindungi belakang ada kesan 'datang bulan'

Menjelang Julai, wajahnya mula membengkak, matanya kelihatan sembap dan ruam turut muncul di bahagian lengan.

Beliau kemudian mendapatkan rawatan di klinik, namun doktor menganggap ia hanya reaksi alahan dan memberinya ubat antihistamin serta krim hidrokortison.

Namun keadaan Georgia semakin memburuk selepas beberapa minggu kemudian, beliau terpaksa ke unit kecemasan akibat kesukaran bernafas.

Walaupun pemeriksaan mendapati tiada kelainan, beliau sekali lagi dihantar pulang dengan ubat alahan tambahan.

Ketika bercuti bersama keluarga di Greece awal Ogos, Georgia mengadu sakit pada betis kanan hingga sukar berjalan keesokan harinya.

Walaupun bengkak pada muka beransur reda, tahap pergerakannya semakin terbatas sekali gus membuatkan ibunya mula berasa risau.

Pada 20 Ogos sekitar pukul 6 petang, Georgia sempat berjumpa doktor sekali lagi sebelum menghantar mesej kepada ibunya mengatakan beliau perlu ke hospital segera.

Ambulans kemudian membawanya ke University Hospital of Wales di Cardiff, namun keadaannya merosot dengan cepat lalu meninggal dunia keesokan harinya.

"Kami masih tidak dapat percaya apa yang berlaku. Setiap kali bangun pagi, kami tertanya-tanya bagaimana semua ini boleh terjadi," kata ibu bapa Georgia dalam satu kenyataan penuh emosi kepada media.

Ibu Georgia, Nicola, turut mengimbas saat-saat terakhir anaknya:

"Kami sampai ke hospital dan semuanya berlaku terlalu cepat. Kami langsung tidak sempat bersedia."

Georgia dikenali oleh rakan-rakan sebagai seorang yang periang, memiliki humor yang tinggi dan sentiasa membawa keceriaan kepada orang sekeliling.

Lebih 900 orang hadir ke majlis pengebumiannya pada 25 September lalu bagi memberikan penghormatan terakhir.

"Seperti yang dikatakan semua dalam ucapan mereka, sama ada mengenali Georgia selama 24 tahun atau hanya 24 minit, setiap orang pasti menyayanginya. Dia selalu menjadi tempat semua orang mengadu dan menenangkan keadaan bila berlaku masalah," kata ibunya.

Keluarga Georgia memohon agar orang ramai menyumbang kepada pertubuhan 2wish, yang membantu keluarga berdepan kehilangan mengejut individu berusia 25 tahun ke bawah, sebagai ganti bunga semasa pengebumian.

Punca sebenar kematiannya masih belum didedahkan setakat ini.

Namun kisahnya menjadi peringatan kepada ramai agar tidak memandang ringan tanda-tanda kesihatan luar biasa, walaupun pada tubuh yang kelihatan sihat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram