
BAYANGKAN sebuah dinding di kediaman bukan sahaja sekadar permukaan kosong, tetapi kanvas yang menceritakan kisah peribadi, menghidupkan memori atau menyerlahkan keperibadian untuk diri anda.
Itulah keajaiban seni mural dan Pengasas Lakar By Mekar, Nor Asyikin Abdullah, 34, telah membawa seni ini ke ruang kediaman dengan pendekatan yang lembut dan penuh emosi.
Dari seorang peguam bertauliah kepada muralis berpengalaman, perjalanan Asyikin membuktikan bahawa seni boleh mengubah ruang dan menyentuh hati, seperti kisah mural bunga matahari yang dicipta untuk mengenang seorang ibu yang telah pergi.
BACA LAGI: [VIDEO] Dr. Kartini kongsi pengalaman, ‘slow swimmer’ jauh bagus berbanding ‘slow runner’
BACA LAGI: Cipta ruang elegan tanpa rasa sesak, hilang nilai estetika, ini 5 'pantang larang' hias kamar kecil
Sering kali, mural dianggap sebagai hiasan untuk pejabat atau bangunan komersial, penuh dengan warna-warna terang dan reka bentuk besar-besaran yang menarik perhatian.
Namun, Asyikin melihat mural, terutamanya 'relief art', sebagai cara untuk membawa kehangatan dan personaliti ke dalam rumah.
Dengan reka bentuk yang disesuaikan, mural bukan lagi sekadar dekorasi, tetapi medium untuk menghidupkan emosi dan kenangan, menjadikan ruang kediaman lebih bermakna serta intim.
Sebagai contoh kisah sedih di sebalik mural bunga matahari yang dicipta untuk sebuah keluarga mencerminkan kuasa seni ini.
Asyikin bukan sahaja melukis dinding, tetapi turut merealisasikan impian seorang insan yang gemar bunga matahari, menghasilkan karya menjadi titik tumpu kenangan keluarga.
Dalam temubual bersama Majoriti, Asyikin berkongsi bagaimana mural dan relief art boleh mengubah suasana rumah, menjadikannya lebih daripada sekadar hiasan, tetapi juga cerminan jiwa dan cerita penghuninya.
Dari peguam ke muralis, Asyikin membawa seni ke setiap sudut rumah.
Asyikin, memulakan kerjayanya sebagai peguam selepas menamatkan pengajian di UiTM Shah Alam.
Namun begitu, minatnya terhadap seni tidak pernah pudar.
"Saya seorang peguam sebelum ini, tapi saya tak pernah tinggalkan minat sebagai pelukis," katanya.
Semasa menunggu 'chambering', Asyikin mula melukis mural secara percuma di kedai rakan-rakan, yang kemudian membawanya ke projek di kafe-kafe dan akhirnya mengasah kemahirannya dalam seni mural.
Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan terhadap mural meningkat, terutamanya untuk kediaman.
"Saya buat banyak seni halus dekat dalam rumah, interior. Ramai orang lebih tertarik untuk buat mural dalam rumah," ujarnya.
Berbeza dengan mural besar di ruang komersial, Asyikin memfokuskan pada reka bentuk yang lembut dan sesuai untuk kediaman, seperti bunga-bunga halus dan relief art yang memberikan kesan tiga dimensi (3D) yang penuh elegan.
Permainan cahaya dan bayang relief art ciptaan Nor Asyikin memukau mata.
Menurut Asyikin, mural menawarkan fleksibiliti yang tidak dapat ditandingi oleh wallpaper atau lukisan konvensional.
"Kalau wallpaper, dia ada satu layout dan kena ulang design yang sama. Tapi mural boleh custom design," jelasnya.
Pelanggan boleh memilih elemen seperti bunga tertentu atau reka bentuk yang mencerminkan personaliti mereka, menjadikan mural lebih peribadi.
Selain itu, mural boleh disesuaikan dengan ruang terhad, seperti separuh dinding atau sudut kecil, tanpa memerlukan ruang penuh seperti wallpaper.
Relief art atau mural 3D, adalah keistimewaan Asyikin.
Dengan menggunakan bahan seperti joint compound, gypsum atau stopper, dia mencipta karya yang timbul dari dinding, memberikan kesan dramatik melalui permainan bayang dan cahaya.
"Bila buat relief art, kita pakai joint compound dan teknik piping atau sculpting. Dia bukan sekadar lukisan, tapi ada tekstur timbul yang bagi efek romantik atau dramatik," katanya.
Karya ini sesuai untuk ruang seperti bilik tidur atau ruang makan, kerana ia tidak terlalu mencolok dan boleh dipadankan dengan pencahayaan untuk menyerlahkan keindahan.
Relief art minimalis Asyikin menyerlahkan keindahan sederhana dalam rumah.
Kelebihan mural dan relief art untuk rumah
Personalisasi dan fleksibiliti: Berbeza dengan wallpaper yang terhad kepada pola berulang, mural membolehkan pelanggan memilih reka bentuk yang mencerminkan minat atau kenangan mereka.
Contohnya, Asyikin pernah mencipta mural bunga matahari untuk sebuah keluarga yang ingin mengenang arwah ibu mereka.
"Anak-anak dia bersepakat nak mural bunga matahari sebab arwah mak dia minat bunga itu. Setiap kali tengok, dia orang teringat mak dia," ceritanya dengan penuh emosi.
Kesan visual yang unik: Relief art memberikan dimensi tambahan yang tidak dapat ditawarkan oleh lukisan rata.
"Bila ada lampu, bayangan dari relief art bagi kesan dramatik tanpa terlalu bold," ujar Asyikin.
Ini menjadikan mural 3D sesuai untuk ruang kecil seperti apartmen, yang mana kesan visual boleh mengubah mood bilik tanpa memerlukan renovasi besar.
Penjimatan ruang dan penyelenggaraan mudah: Mural tidak memerlukan ruang besar dan boleh diletakkan pada separuh dinding, membolehkan pelanggan mengekalkan ruang untuk perabot.
Dari segi penyelenggaraan, Asyikin menggunakan cat tahan lama dengan salutan pelindung water-based, menjamin ketahanan mural sehingga tujuh hingga sepuluh tahun.
"Kita pakai cat yang ada warranty, jadi tak perlu risau pasal luntur," katanya.
Mural Asyikin menambah keanggunan minimalis pada bilik tidur.
Melukis mural di kediaman bukanlah mudah jika tanpa cabaran.
Asyikin menjelaskan bahawa kerja-kerja seperti relief art boleh menghasilkan habuk, jadi komunikasi dengan pelanggan adalah kunci.
"Kita bagitahu dia hari yang sesuai, kita lapik bawah dan pastikan tak ganggu rutin harian dia," ujarnya.
Selalunya, mural dilakukan pada fasa akhir renovasi untuk mengelakkan gangguan.
Untuk relief art, cabaran teknikal seperti mengawal tekstur joint compound juga memerlukan ketelitian.
"Kalau tak kena, compound boleh cair atau keras sangat. Kita kena tengok suhu dan kelembapan,” tambahnya.
Mural kanak-kanak bertema angkasawan ciptaan Asyikin menarik minat si kecil!
Trend mural di Malaysia, menurut Asyikin, berbeza-beza mengikut ruang.
Untuk bilik kanak-kanak, tema seperti angkasawan, safari atau watak puteri sangat popular.
"Budak lelaki suka astronaut atau Star Wars, manakala perempuan suka butterfly atau princess," katanya.
Untuk ruang tamu serta ruang makan, pelanggan cenderung memilih reka bentuk abstrak atau bunga tropika seperti bunga raya, orkid dan bunga telang yang mencerminkan elemen tempatan.
Bagi mereka yang berminat mencuba mural atau relief art, Asyikin menasihati untuk bermula dengan berbincang tentang visi mereka.
"Tanya diri sendiri, apa vibe yang nak bawa dalam rumah? Nak simple atau dramatik? Kita boleh sesuaikan," katanya.
Beliau juga menekankan bahawa mural tidak perlu terlalu terang.
"Relief art boleh muted, sesuai dengan gaya Japandi atau Muji, tapi tetap ada wow factor dengan lighting."
Asyikin menggalakkan pemilik rumah untuk melihat mural sebagai pelaburan jangka panjang.
"Ia bukan sekadar cantik, ia uplift mood. Bila tengok mural, macam ada cerita di belakangnya," ujarnya.
Asyikin membuktikan bahawa mural dan relief art bukan sahaja untuk bangunan komersial, tetapi juga untuk menghidupkan ruang kediaman dengan cerita dan emosi.
Dari mural bunga matahari yang mengenang seorang ibu kepada relief art yang menyerlahkan keanggunan minimalis, karya Asyikin menawarkan cara baharu untuk menghias rumah.
Dengan pendekatan yang penuh empati dan kreativiti, beliau mengajak kita melihat dinding sebagai kanvas untuk kenangan dan identiti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram