
FENOMENA K-Pop telah mengubah cara dunia melihat fesyen, menjadikan Seoul, Korea sebagai ibu kota fesyen kelima selepas Paris, Milan, London dan New York.
Jika sebelum ini Korea hanya dianggap pasaran baharu, kini ia diiktiraf sebagai pusat gaya global.
Dari jalan penuh lampu neon di Gangnam, butik kecil di Hongdae hingga kawasan unik Itaewon, fesyen jalanan Korea kini memberi pengaruh besar kepada dunia.
Rahsia gaya jalanan Seoul
Keistimewaan fesyen jalanan Korea ialah sikap beraninya. Mereka tidak terlalu ikut trend, sebaliknya mencipta gaya sendiri.
Potongan besar, warna bercampur dan cara padanan pakaian yang pelik tetapi tetap nampak menarik menjadi identiti mereka. K-Pop banyak mempengaruhi gaya ini.
Idola seperti anggota kumpulan Bigbang, G-Dragon memperkenalkan fesyen uniseks, manakala Lisa pula menjadikan gabungan pakaian mewah dan kasual sebagai sesuatu yang normal.
Contohnya, trend kasut platform tebal. Ketika Barat baru mengikutinya, Seoul sudah lebih maju dengan memadankan sneakers bersama gaun labuh atau seluar potongan longgar dengan kasut Mary Jane bertapak tebal.
Padanan yang berani itu menjadi perhatian kerana tampak segar dan berbeza.
Warna sebagai identiti
Dulu, fesyen Korea sering dikaitkan dengan warna neutral dan minimalis. Kini ia berubah.
Generasi baharu berani memadankan warna terang seperti biru, merah jambu, kuning lembut dan hijau gelap.
Perubahan tersebut banyak dipengaruhi video muzik K-Pop yang penuh warna dan cetakan bercampur.
K-Pop sebagai kuasa besar fesyen
Pengaruh K-Pop tidak lagi terhad kepada muzik. Rumah fesyen mewah seperti Gucci, Louis Vuitton dan Celine kini memilih idola K-Pop bukan hanya sebagai duta, tetapi juga rakan kolaborasi.
Anggota kumpulan Blackpink, Jennie misalnya, menjadi wajah Chanel kerana beliau mampu membawa jenama itu dengan gaya segar dan moden.
Kesan daripada situasi itu sangat jelas.
Apabila Rose yang juga ahli Blackpink memakai pakaian Saint Laurent, ia cepat habis terjual dan ditiru dalam pelbagai versi.
Kemunculan kumpulan BTS dengan pakaian rekaan khas pula menjadikan jenama antarabangsa lebih dekat dengan anak muda.
Asal-usul dari budaya setempat
Gaya Seoul tidak datang daripada pemasaran semata-mata. Ia lahir secara semula jadi daripada budaya setempat.
Muzik indie di Hongdae, pelajar seni di Sinchon dan usahawan teknologi di Gangnam semuanya menyumbang kepada identiti fesyen bandar berkenaan.
Selain itu, gaya Seoul juga lebih mudah diikuti kerana tidak memerlukan pakaian mahal. Padanan pakaian murah dan berjenama mewah dianggap biasa.
Contohnya, jaket vintaj dari pasar Dongmyo boleh dipadankan dengan beg mewah atau pakaian biasa diperkemas dengan aksesori pereka baharu Korea.
Warna hitam jadi pilihan utama dalam gaya jalanan Seoul. — Instagram/@sharifahrose_
Tip bergaya seperti di Seoul
Jika anda berkunjung ke Seoul, jadikan fesyen jalanan bandar itu sebagai panduan padanan gaya anda.
Jaket bomber besar, seluar labuh hingga mencecah buku lali dan blazer longgar boleh dijadikan asas penampilan.
Warna hitam sering dijadikan warna utama kerana ia menaikkan elemen lain dalam pakaian.
Aksesori memainkan peranan penting. Padankan sneakers bertapak tebal, rantai logam, beg berstruktur dan perincian besi untuk penampilan lebih berani.
Teknik layering juga boleh dicuba. Gabungkan fabrik nipis dengan kain tebal, baju panjang dengan potongan tidak sekata serta padanan luar biasa yang menarik perhatian.
Untuk cetakan, jangan takut mencuba kombinasi unik. Motif belang boleh dipadankan dengan corak harimau bintang atau bunga digabungkan dengan motif kotak-kotak.
Gabungan pengaruh K-Pop dan fesyen jalanan menjadikan Seoul salah satu pusat fesyen utama dunia.
Bagi pelancong Malaysia, cuba padankan elemen mewah dan kasual serta corak dan warna yang berani untuk tampil lebih segar dan bergaya semasa melancong. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram