[VIDEO] Jururawat India bertarung nyawa, sanggup redah sungai deras demi vaksin bayi baru lahir


  • Benua
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Kamla sanggup meredah sungai deras demi memastikan seorang bayi menerima suntikan imunisasi di sebuah kawasan pedalaman di India. — Agensi

TINDAKAN berani seorang jururawat di Himachal Pradesh, India sanggup meredah sungai deras demi memastikan seorang bayi menerima suntikan vaksin tular di media sosial pada Sabtu.

Menerusi rakaman video yang tersebar, jururawat yang hanya dikenali dengan nama Kamla Devi dilihat melompat dari satu batu ke batu lain sambil memegang kasut di tangan kiri dan menggalas beg di bahu untuk menyeberangi sungai deras di daerah Mandi.

“Saya bimbang tentang bayi itu. Ibunya tidak dapat datang ke pusat kesihatan kerana keadaan cuaca. Jadi saya fikir, saya perlu pergi kepada mereka,” katanya kepada The Indian Express.

BACA LAGI: [VIDEO] Lori 'terbang' tanpa pemandu, bayi maut, 8 parah nahas 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang

BACA LAGI: [VIDEO] Anak kena tukul penagih dadah marah-marah di Bachok makin kritikal, bapa harap ‘keajaiban’

Tambah Kamla lagi, jadual imunisasi bayi tersebut tidak boleh ditangguhkan.

“Tiada perkara lain dalam fikiran saya ketika itu. Saya tidak tahu siapa yang merakam video. Sejak ia tular, saya hanya menerima panggilan telefon orang ramai yang mengucapkan tahniah dan memberi penghormatan,” ujarnya.

 

 

 

 

Difahamkan, Kamla yang berusia 40 tahun bertugas di Pusat Kesihatan Primer Sudhar, Padhar tehsil, dan turut dipertanggungjawabkan terhadap Sub-Pusat Kesihatan Swar di mana bayi berkenaan tinggal.

Memetik laporan Tamil Nadu Time, kejadian itu berlaku pada bulan Ogos yang lalu yang mana India turut mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu.

Dalam perembangan lain,Ketua Pegawai Perubatan daerah, Dr. Deepali Sharma mengakui keberanian jururawat itu, namun memberi amaran agar petugas kesihatan tidak mengambil risiko yang tidak perlu.

“Ia memang satu tindakan berani, tetapi kami tidak mahu petugas kesihatan membahayakan nyawa mereka.

"Jika kawasan tidak dapat diakses, pihak kami akan membuat pengaturan bagi memastikan mereka boleh sampai kepada penerima,” katanya.

Di media sosial, ramai memuji pengorbanan Kamla Devi yang sanggup merisikokan diri demi tanggungjawa sebagai seorang petugas kesihatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram