
PELAKON Hollywood, Jenna Ortega tampil dengan solekan mata samar, lingkaran gelap di bawah mata, wajah pucat dan tulang pipi yang sedikit diserlahkan dengan warna kelabu.
Bibirnya pula berwarna ungu muda. Penampilannya kelihatan letih dan itu sememangnya mesej yang ingin disampaikan.
Trend solekan terkini bagi Generasi Z dikenali sebagai Tired Girl yang meraikan penampilan seperti baru bangun tidur.
BACA LAGI: Ibu bengang puting di mulut bayi kena tampal 'salotape', padahal pengasuh minta bayaran mahal
Trend solekan 'Tired Girl' menceminkan watak Wednesday bukan jenis yang menghabiskan masa lama berdandan. — Agensi
Selama ini, standard kecantikan menekankan wajah segar dan bertenaga. Concealer dan krim bawah mata direka untuk menyembunyikan kepenatan.
Wajah letih biasanya dikaitkan dengan kesihatan kurang baik, penuaan dan tidak menarik. Namun, trend Tired Girl membolehkan kita menerima ketidaksempurnaan yang selama ini cuba disorok.
Watak ikonik trend ini ialah Wednesday Addams dari siri Netflix arahan Tim Burton, lakonan Jenna.
Dalam musim pertama dan kedua, watak itu menampilkan mata berbayang dan kulit pucat yang mana gaya yang turut dipamerkan Jenna di karpet merah London baru-baru ini.
Penonton lebih tua mungkin mengenali gaya serupa pada Angelina Jolie dalam Girl Interrupted (1999) atau Natalie Portman muda dalam Leon (1994).
Antara selebriti moden yang meminati trend ini ialah Lily Rose-Depp, model dan pemuzik Gabbriette serta influencer Emma Chamberlain, Danielle Marcan dan Lara Violetta.
Trend Tired Girl kini menjadi popular di TikTok dengan pelbagai tutorial, sebahagiannya mendapat lebih 300,000 tontonan.
Lara menekankan bahawa lingkaran gelap bawah mata kelihatan chic kerana ia memerlukan usaha, manakala penampilan keseluruhan kelihatan tidak kemas, spontan dan berani.
Pengarah kecantikan majalah Glass, Kim Brown berkata, solekan Tired Girl meraikan keaslian, penuh personaliti, tegas dan cool.
Trend berkenaan berbeza dengan gaya goth yang lebih gelap atau solekan aegyo-sal dari Korea yang menekankan bawah mata bengkak untuk wajah muda.
Ia juga berbeza daripada fesyen grunge 1990-an, walaupun ada persamaan dari segi gaya tidak kemas.
Solekan 'Tired Girl' menampilkan wajah yang kelihatan penat dengan lingkaran gelap bawah mata dan bibir semula jadi. — Agensi
Menurut penulis dan editor Dan Hastings-Narayanin dari The Future Laboratory, Tired Girl adalah fenomena sementara di internet, sama seperti cottagecore atau Barbiecore, cara cepat menunjukkan personaliti atau mood tetapi mudah digantikan trend lain.
Trend ini menonjolkan gaya unik Tim Burton seperti dalam Wednesday. Jurusolek Jenna, Tara McDonald menjelaskan, asas solekan ringan digunakan untuk menonjolkan ciri semula jadi pelakon itu.
Lingkaran gelap bawah mata sengaja tidak disorok, pembayang mata hanya sapuan ringan dan bibir kelihatan natural seolah-olah digigit.
Trend terlibat juga mencerminkan watak Wednesday bukan jenis yang menghabiskan masa lama berdandan.
Menurut Nirvana Jalalvand, solekan itu menekankan bahawa penampilan bukan keutamaan berbanding tugas penting yang perlu diselesaikan.
Ia bertentangan dengan standard kecantikan tradisional 'clean girl' yang segar, kemas dan teratur.
Trend Tired Girl adalah simbol kebebasan daripada tekanan kesempurnaan di mana orang kini lebih selesa berkongsi foto 'seadanya' di media sosial.
Solekan Tired Girl mudah dilakukan dengan hanya menggunakan concealer atau pemerah pipi tanpa kemahiran tinggi atau berus khas.
Walaupun trend berkenaan mungkin tidak bertahan lama, ia mencerminkan tekanan yang dihadapi Gen Z, termasuk tugasan akademik, hutang pelajar, ketidakstabilan pasaran kerja serta usaha mencapai matlamat peribadi.
Menurut Hastings-Narayanin, trend tersebut menunjukkan cara mereka mengekspresikan kepenatan dan ketidakpastian dengan jenaka.
“Saya letih memikirkan masa depan yang tidak pasti, tapi saya tetap menghadapinya dengan ketawa," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram