
DALAM sesebuah perkahwinan, komunikasi menjadi kunci utama untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Tanpa perbincangan yang baik, salah faham mudah berlaku dan boleh menjejaskan hubungan, apatah lagi apabila melibatkan masa, kerjaya serta keluarga.
Perkara itu turut diakui oleh personaliti media sosial, Imran Aqil yang berkongsi pengalaman peribadi menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini.
BACA LAGI: Isteri kecewa suami nekad berhenti kerja tetap alasan nak jadi pemandu e-hailing
BACA LAGI: Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan
Katanya, beliau pernah bersikap mementingkan diri apabila membuat keputusan mendaftar acara sukan lasak IRONMAN 70.3 tanpa berbincang terlebih dahulu dengan isteri, Dahlia Rizal.
Menurutnya, keputusan tersebut mencetuskan pertelingkahan besar antara mereka kerana beliau gagal mengurus masa dengan baik.
"Jujur, perjalanan ini bukan mudah. Bahagikan masa antara training, kerja dan keluarga sangat susah.
"Aku jujur, aku selfish bila register IRONMAN 70.3 tanpa bagitahu Dahlia, gaduh besar pernah berlaku hanya kerana kegagalan aku mengurus masa dengan baik," katanya.
Tambahnya, tekanan semakin bertambah apabila latihan tidak mencukupi, sekali gus menimbulkan kerisauan sama ada beliau mampu menamatkan acara itu dengan baik.
Dalam masa sama, beliau sedar semakin kurang meluangkan masa bersama keluarga, terutama ketika anak sulung masih kecil dan isteri pula masih dalam fasa pemulihan selepas berpantang.
Namun, jelas Imran, ruang penyelesaian muncul apabila beliau mula berkomunikasi secara ikhlas dengan keluarga.
Sokongan mentua yang sanggup membantu menjaga anak dan pengorbanan isteri yang tetap tabah memberi dorongan besar untuknya meneruskan latihan fizikal.
"ALLAH hadirkan jalan dengan komunikasi yang ikhlas, dengan keluarga dan mentua yang sanggup hulurkan tangan jaga Yusra (anak), aku perlahan- lahan dapat ruang untuk training.
"Yang paling besar, sokongan Dahlia, terima kasih sayang kerana tetap ada, tetap memahami, tetap jaga Yusra dengan penuh kasih sayang walaupun aku kadang hilang dalam kerja dan training.
"I love you, moga ALLAH angkat darjat you kerana jadi isteri yang sabar, kuat dan luar biasa," tambahnya.
Baginya, penyertaan dalam IRONMAN 70.3 adalah salah satu impian terbesar dalam hidupnya dan dia berharap dapat menamatkan cabaran tersebut dengan cemerlang.
Untuk rekod, Imran Aqil bernikah dengan Dahlia Rizal pada September 2023 di Melaka dan pasangan dua sejoli itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Yusra yang lahir pada Mei 2025.
Anak mereka pernah diuji apabila dijangkiti Covid-19 ketika masih bayi dan sepanjang tempoh kehamilan, Dahlia juga pernah mengalami masalah kesihatan sehingga dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah rendah dan kekurangan gula.
Usai bergelar bapa, Imran juga difahamkan lebih berhati-hati memilih projek lakonan, malah menolak tawaran drama panjang demi memberi keutamaan kepada keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram