Isteri kecewa suami nekad berhenti kerja tetap alasan nak jadi pemandu e-hailing


  • Cinta
  • Rabu, 01 Okt 2025

Seorang isteri meluahkan rasa kecewa apabila suaminya sanggup berhenti kerja demi menjadi bekerja sebagai pemandu e-hailing. — Gambar hiasan/Janaan AI

KOMITMEN dan kewangan antara isu terbesar dalam hal rumah tangga bagi mana-mana pasangan suami isteri, apatah lagi yang sudah mempunyai anak.

Dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar, hal itu sering menjadi punca pertikaian antara pasangan suami isteri dan lebih parah sehingga berlakunya perceraian.

Situasi berkenaan boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang wanita di laman Threads yang meluahkan kekecewaannya apabila suami nekad berhenti kerja demi menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa.

BACA LAGI: Cegah sebelum parah, tip pemasangan 'car seat' ikut garis panduan WHO dan JPJ

BACA LAGI: Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan

Menurutnya, beliau berulang kali menasihati suaminya supaya mengekalkan pekerjaan tetap yang baru disertai dan hanya menjadikan kerja e-hailing pendapatan sampingan.

Enggan berselindung di sebalik realiti, wanita menerusi akaun @jeeeemaaaah itu menyifatkan keputusan dibuat suaminya amat membebankan kerana mereka kini mempunyai pelbagai komitmen termasuk bayaran rumah sewa, dua buah kereta dan motosikal, yuran taska serta perbelanjaan harian keluarga.

"Saya berat hati nak bagi dia berhenti kerja, sebab saya kenal dan tahu dia macam mana, dia memang takkan bertahan kalau buat full time e-hailing.

"Dengan gaji tetap pun kami masih perlu kongsi bayar 50/50, ini kan pula kalau kerja sendiri, penat sebenarnya nak gaduh," luahnya.

Tambahnya, gaji suaminya di kilang sebelum ini sangat memuaskan dan ia juga diperoleh hasil usaha dirinya yang membantu membuat permohonan kerja melalui laman pencarian kerjaya.

Lebih mengecewakan, alasan yang diberikan suaminya untuk berhenti hanyalah kerana tidak mempunyai kawan di tempat kerja baharu walaupun baru saja tiga bulan bertugas.

"Saya orang paling gembira masa dia dapat kerja tu tapi bila dia kata nak berhenti dengan alasan macam tu, sumpah kecewa.

"Saya dah cakap kalau dia betul-betul nak berhenti dan buat e-hailing, saya takkan bantu bayar apa-apa lagi lepas ni itu pilihan dia, jadi dia kena tanggung sendiri," katanya.

Wanita berkenaan dalam masa sama turut menekankan bahawa mereka tidak mempunyai simpanan kewangan yang kukuh, justeru keputusan suaminya dianggap terburu-buru dan boleh mendatangkan risiko besar kepada masa depan keluarga.

Dalam rumah tangga, keputusan besar terutama berkaitan kewangan dan pekerjaan seharusnya dibuat hasil perbincangan bersama agar tidak menimbulkan rasa terbeban sebelah pihak.

Suami isteri perlu saling mendengar dan mencari jalan tengah supaya apa jua keputusan diambil dapat menjamin kestabilan ekonomi serta kebahagiaan keluarga dalam jangka panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram