'Quality better than quantity time', Fazeera titip nasihat suami perlu luang masa hargai isteri, khususnya suri rumah


  • Bonda
  • Selasa, 30 Sep 2025

Fazeera Nazri sentiasa mengutamakan masa berkualiti bersama suami dan anak-anaknya demi kebahagiaan rumah tangga.

DALAM era moden hari ini, isu keseimbangan antara kerja, masa bersama keluarga dan kesihatan mental semakin mendapat perhatian.

Ramai ibu, khususnya yang bergelar suri rumah sepenuh masa berdepan tekanan apabila menguruskan anak dan rumah tangga tanpa sokongan mencukupi.

Menyentuh hal itu, isteri kepada pelakon dan usahawan Fizo Omar, Fazeera Nazri, menitipkan pesanan agar para suami sentiasa menghargai pasangan mereka walaupun hanya berada di rumah mengurus keluarga.

BACA LAGI: 'CL dari neraka', ibu berpantang trauma kaki melecur bertungku, rugi lebih RM2,000 di Tawau

BACA LAGI: Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan

Menurutnya, kualiti (quality time) jauh lebih penting berbanding tempoh masa semata-mata (quantity time), khususnya dalam mendidik anak-anak kerana si kecil akan terasa lebih dihargai sekiranya dibesarkan dengan cara itu.

"Banyak dengar cerita yang stay at home mom yang selalu ada untuk anak 24/7 stress without any supports pun dari even families.

"Bila mental health mereka tak stable, mereka akan project the negative energy kepada anak anak, hari-hari tengking anak, marah anak, pukul anak.

"Bukan sebab salah mereka, tapi mereka terlalu banyak spend masa di rumah buat benda sama sorang, tiada kawan, sambil melayan tantrum anak anak," katanya di laman Threads.

 

 

 

 

Tambahnya, ibu bapa yang bekerja sebenarnya tetap boleh membina hubungan baik dengan anak-anak jika masa yang diluangkan itu berkualiti.

Fazeera dalam masa sama turut mengingatkan bahawa isteri walaupun bergelar suri rumah, tidak seharusnya dipandang remeh kerana merekalah yang menjadikan sebuah rumah benar-benar terasa seperti 'rumah tangga'.

"Bawalah isteri keluar sekali-sekala, reward mereka dengan dinner date, bawa bercuti atau beri masa untuk diri sendiri seperti ke spa.

"Mereka penat mental dan fizikal kerana sepenuh jiwa raga dicurahkan untuk anak-anak," pesannya.

 

 

Selain bergelar suri hati Fizo Omar, wanita asal Kuching, Sarawak itu juga mempunyai latar belakang akademik yang cukup cemerlang dan membanggakan.

Dilahirkan pada 29 November 1996, Fazeera mendapat pendidikan awal di negeri kelahirannya sebelum menyambung pengajian ke peringkat  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bidang seni.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL) dan berjaya menamatkan pengajian dengan kelas pertama.

Dari sudut kerjaya, Fazeera pernah berkhidmat sebagai pramugari Air Asia dan Qatar Airways namun, selepas pandemik COVID-19, ibu kepada tiga cahaya mata itu membuat peralihan kerjaya dan kini bertugas sebagai pensyarah TESL di University College of Aviation Malaysia.

Selain turut aktif di media sosial, kejayaannya mengimbangi kerjaya akademik serta peranan sebagai seorang isteri dan ibu menjadikan Fazeera sebagai inspirasi buat ramai wanita muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram