Cegah sebelum parah, tip pemasangan 'car seat' ikut garis panduan WHO dan JPJ


  • Bonda
  • Rabu, 01 Okt 2025

Pemasangan car seat kanak-kanak di bahagian belakang lebih menjamin keselamatan berbanding di kedudukan kerusi depan. — Gambar hiasan/Freepik

KESEDARAN penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak ataupun car seat semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa.

Namun, masih ada yang memilih untuk meletakkan kerusi tersebut di bahagian hadapan kenderaan kerana beranggapan lebih mudah dipantau dan selamat digunakan. 

Hakikatnya, kedudukan itu boleh mengundang risiko besar terhadap keselamatan bayi dan kanak-kanak kecil sekiranya berterusan dipraktikkan oleh ibu bapa luar sana.

BACA LAGI: 'CL dari neraka', ibu berpantang trauma kaki melecur bertungku, rugi lebih RM2,000 di Tawau

BACA LAGI: Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan

Menurut pakar pencegahan kecederaan kanak-kanak Texas, Amerika Syarikat (AS) David Aguilar, kerusi keselamatan itu direka khusus bagi mengurangkan risiko kecederaan serius mangsa atau tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan. 

"Air bag hadapan meletup dengan sangat kuat ketika impak dan hentaman itu boleh membahayakan bayi terutama yang masih dalam posisi rear-facing," jelasnya.

Selain itu, kajian agensi turut melaporkan penumpang hadapan lebih berisiko mengalami kecederaan berbanding yang duduk di belakang. 

Garis panduan WHO, Persatuan Pediatrik Amerika (AAP) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menetapkan kanak-kanak bawah 12 tahun wajib duduk di kerusi belakang.

Kedudukan kerusi car seat di hadapan boleh mengundang bahaya pada si bayi. — Gambar hiasan

Tegas David, kedudukan rear-facing adalah paling selamat untuk bayi kerana memberi perlindungan tambahan pada kepala, leher dan tulang belakang.

Sementara itu, pakar pediatrik Dr. Adam Hurst pula menjelaskan terdapat dua jenis kerusi keselamatan bayi iaitu untuk bayi baru lahir (infant car seat) dan kerusi boleh tukar (convertible car seat) yang boleh digunakan lebih lama mengikut tumbesaran anak.

Namun, isu yang berbangkit kebelakangan ini bukan sekadar jenis kerusi tetapi cara pemasangan yang betul. 

Juruteknik keselamatan penumpang kanak-kanak bertauliah, Britney Schroeder menekankan kepentingan mematuhi manual arahan kerusi berkenaan. 

"Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa sistem ISOFIX atau LATCH mempunyai had berat tertentu, bila anak melebihi had, pemasangan wajib menggunakan tali pinggang keledar kenderaan," katanya.

Selain itu, ibu bapa diingatkan untuk sentiasa berhati-hati jika memilih kerusi car seat terpakai. 

Pastikan ia tidak tamat tempoh atau pernah terlibat dalam kemalangan kerana boleh menjejaskan tahap keselamatan pada si kecil yang berisiko terdedah kepada kecederaan parah.

Terdahulu, seorang bayi lelaki tempatan dilaporkan maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Selangor baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak  ketika kejadian sekali gus mengundang kecelakaan kepada mangsa dalam insiden itu.

Tambahnya, kerusi khas kanak-kanak itu adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.

Dengan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan keluarga, ibu bapa khususnya perlu lebih peka bahawa kerusi keselamatan bukan sekadar aksesori, tetapi pelaburan penting demi nyawa anak-anak. 

Pemasangan car seat di tempat yang betul serta mengikut garis panduan yang ditetapkan adalah langkah pencegahan terbaik kerana mampu mencegah padah yang tidak diingini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram