Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan


  • Cinta
  • Selasa, 30 Sep 2025

Setiap pasangan pengantin mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang indah dan berjalan lancar seperti dirancang. — Gambar hiasan/Janaan AI

SETIAP pasangan mempelai mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang penuh meriah dan indah sebagai momen akan dikenangi selamanya.

Menjadi keutamaan buat setiap pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, segalanya bermula dari detik persiapan sesebuah majlis yang ironinya menjadi penentu pada hari penuh bermakna itu kelak.

Tidak dinafikan, proses tersebut memiliki cabaran dan kesukarannya tersendiri apabila tuan badan perlu berdepan pelbagai nasihat dan pandangan berbeza daripada orang sekeliling.

BACA LAGI: Rambut ibu gugur lepas bersalin, ada kaitan dengan bayi tumbuh gigi?

BACA LAGI: 'Turning point kembali kepada ALLAH', Mia Ahmad kongsi cabaran besarkan anak sulung autisme

Sedar ataupun tidak, kebanyakan pasangan pengantin hari ini sudah terbiasa dengan fahaman dan amalan yang menjadi 'protokol' di hari perkahwinan hinggakan ia dianggap normal oleh sebilangan masyarakat.

Berikut merupakan lima situasi ataupun perkara yang acap kali dipandang remeh, namun berisiko besar merosakkan imej serta keharmonian sesebuah majlis perkahwinan. 

1. Tukar masa majlis di saat akhir

"Last minute tukar timing tak apa, tetamu akan ikut sahaja".

Rangkap ayat itu sering kali diguna pakai oleh  pengurus majlis yang tidak bertanggungjawab bagi memudahkan isu tempahan ataupun susunan atur cara majlis demi kepentingan diri sendiri.

Hakikatnya, perubahan jadual di saat akhir boleh menimbulkan kekeliruan dan menyusahkan vendor serta tetamu yang telah membuat perancangan awal hadir ke majlis.

Penukaran masa sebaik-baiknya dilakukan sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan sebelum majlis bagi memudahkan segala urusan persiapan dilakukan dengan rapi.

Kebanyakan pengantin rela menahan lapar demi mengekalkan solekan pada muka. — Gambar hiasan/Janaan AI

 

2. Tidak makan demi solekan

Ramai pengantin dinasihatkan supaya tidak makan ketika sesi makan beradab sedang berlangsung bagi menjaga kekemasan dan solekan khususnya buat wanita.

Namun, ketahuilah bahawa tenaga dan senyuman pengantin lebih penting berbanding sedikit cela pada solekan di wajah kerana ia masih boleh diperbaiki selepas makan. 

Malah ia juga mampu mengelakkan individu berasa lapar berlebihan atau tertekan akibat kepenatan apabila tibanya waktu kemuncak majlis.

3. Pengantin lewat

Budaya datang lambat sering dianggap remeh bagi pengantin namun hakikatnya sikap sedemikian seharusnya dielakkan kerana tetamu mungkin mempunyai urusan lain. 

Dalam masa sama, menghormati masa orang lain juga akan membantu melancarkan perjalanan keseluruhan majlis.

4. Bebankan bridesmaid demi penjimatan

Ada yang beranggapan teman rapat ataupun bridesmaid boleh menguruskan segala-galanya, sekali gus menjimatkan kos.

Realitinya, mereka juga ingin menikmati majlis dan hidangan makanan tersedia, bukan sekadar menjadi pengurus acara semata-mata pada sesebuah majlis perkahwinan. 

Melantik koordinator atau pengurus (floor manager) lebih ideal agar tidak menjejaskan sesebuah persahabatan.

5. Gambar majlis lewat

Walaupun kelihatan remeh, gambar dan video pada hari yang sama memainkan peranan besar dalam menghidupkan kenangan pasangan pengantin.

Seiring trend terkini, perkhidmatan wedding content creator mampu menyediakan sekurang-kurangnya 300 foto dan video pendek pada hari yang sama, membolehkan pasangan pengantin terus mengimbau detik indah sebaik tiba di hotel tanpa perlu menunggu lama.

Walaupun lima perkara di atas sering dianggap normal, kesannya boleh membawa kepada stres dan menimbulkan rasa penyesalan selepas tamatnya majlis.

Setiap pasangan mengimpikan majlis perkahwinan yang berjalan lancar dan penuh kenangan indah namun, mengikut nasihat tanpa menilai kesannya boleh menyebabkan ia menjadi lebih rumit daripada sepatutnya.

Justeru, bakal raja sehari disarankan membuat perancangan awal, lantik individu profesional untuk menguruskan acara dan utamakan keselesaan diri serta tetamu. 

Dengan pendekatan yang lebih bijak, hari bahagia bukan sahaja berjalan lancar tetapi turut meninggalkan memori manis yang boleh dikenang sepanjang hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram