'CL dari neraka', ibu berpantang trauma kaki melecur bertungku, rugi lebih RM2,000 di Tawau


  • Bonda
  • Selasa, 30 Sep 2025

Seorang ibu berpantang mendakwa dirinya ditipu pakej penjagaan confinement lady di Tawau. — Gambar hiasan/Janaan AI

PENGALAMAN berpantang sepatutnya menjadi tempoh rehat dan pemulihan buat ibu selepas melahirkan anak.

Namun, lain pula ceritanya bagi individu wanita ini yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan perkhidmatan pakej penjagaan pantang confinement lady (CL) di Tawau, Sabah baru-baru ini.

Kronologi kisahnya bermula apabila mangsa menerusi akaun @tik4hhhhhhhhhhh di laman Threads dikatakan pernah berdepan masalah tumpah darah usai kelahiran pertamanya beberapa tahun lalu.

BACA LAGI: Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan

BACA LAGI: Rambut ibu gugur lepas bersalin, ada kaitan dengan bayi tumbuh gigi?

Ekoran itu, dia tekad untuk mendapatkan khidmat CL bagi kehamilan kedua demi memastikan proses berpantang lebih teratur.

Katanya, pakej yang ditawarkan merangkumi penjagaan 24 jam oleh dua orang penjaga, makanan berpantang termasuk ikan salmon, serta barangan percuma seperti bengkung tradisional dengan syarat bayaran deposit perlu dibayar lebih awal.

 

 

Masalah sejak hari pertama

Namun, sejak hari pertama servis yang diterima sudah menimbulkan keraguan kerana CL yang dijanjikan berpengalaman rupa-rupanya diganti dengan seorang wanita muda yang tidak tahu mengurus bayi, apatah lagi menyediakan batu pemanas tungku.

Lebih mengejutkan, tungku bayi yang dipinjamkan oleh mangsa rosak teruk kerana dipanaskan berlebihan sehingga hampir mencederakan bayinya.

Malah, individu terbabit sendiri turut mengalami kesan lecuran di kaki akibat tungku terlalu panas.

"Kakiku sudah pasti melecur, hahaha CL apa ni ek, panaskan tungku pun asyik gagal, saya masih lagi cuba sedapkan hati sendiri yela sebab dah bayar banyak.

"Bengkung yang free gift, sebelum start pakej tanya saiz, bila dapat rupanya bengkung second hand, kancing semua dah berkarat nasib saya ada bengkung masa pregnant pertama dulu.

"Bila tanya ni ke bengkung free gift, kata nak bagi yang tradisional bertali, dia bagi alasan tengah basuh tak kering bila kita push rupanya baru beli shopee," katanya.

Tungku batu yang didakwa rosak digunakan oleh penjaga tersebut. — Threads/@tik4hhhhhhhhhhh

 

 

Kekecohan dalam rumah

Selain isu kebersihan dan kualiti makanan, CL tersebut turut menimbulkan kekecohan sehingga berlaku pertengkaran yang mengganggu emosi ibu berpantang tersebut.

Akibat tekanan berterusan, mangsa meminta bayaran ganti rugi sebanyak RM2,400 namun hanya dipulangkan sebahagian daripada jumlah tersebut.

Situasi lebih parah apabila penjaga terbabit didakwa mengubah invois baharu untuk mengelak daripada memulangkan baki yang dipersetujui.

Wanita terbabit dalam masa sama mendakwa mengalami kerugian hampir RM900 selepas pakej berpantang yang dibayar lebih 80 peratus tidak dipenuhi.

"Akhir kata aku takkan halalkan setiap sen duit yang kau tahu kau patut refund.

"Sanggup betul aniaya orang dalam pantang dan makan duit haram, semoga kau dapat alasan yang setimpal aniaya aku di saat aku lemah" ujarnya.

Perkongsian tular itu seharusnya dijadikan iktibar dan peringatan buat para ibu yang sedang mencari khidmat CL supaya lebih berhati-hati, menyemak latar belakang penyedia perkhidmatan dan memastikan ada kontrak bertulis yang jelas.

Kejadian itu secara tidak langsung membuktikan bahawa berpantang bukan sekadar soal tradisi, tetapi juga terpalit isu keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan emosi ibu serta bayi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram