'Semua info tepat', misteri 5 dekad cari famili angkat wanita warga asing di Kota Bharu makin terungkai


  • Bonda
  • Khamis, 25 Sep 2025

Maklumat terbaharu yang dipercayai ditinggalkan oleh keluarga kandung Leone Crossfield.

 

 

USAHA pencarian wanita warga asing yang dikenali sebagai Leone Crossfield untuk menjejak keluarga angkatnya di Kota Bharu, Kelantan semakin hampir ke penghujung.

Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsikan pengguna Facebook Ahmed Nezri Nawi, Leone kini menunggu perbualan dengan anak sulung ibu angkatnya dikenali sebagai Wok dan suaminya, Dau.

Menurutnya, mereka juga sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan dan kesahihan maklumat diterima menerusi komen yang ditinggalkan di dalam hantaran Leone sebelum ini.

BACA LAGI: Wanita warga asing terus jejaki keluarga angkat di Kota Bharu, lebih 5 dekad terpisah

BACA LAGI: Tanam hasrat belajar bahasa isyarat lepas terima pelanggan bisu, pekak, tetap 'komunikasi' sedaya mampu

Dau (lelaki, baju putih) dan Aziz (kiri, belakang) dikatakan sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu. — Facebook/Leone Crossfield

"Misteri lima dekad, terima kasih, pencarian sampai ke penghujungnya.

"Saya menunggu perbualan anak sulung Wok dengan Leone untuk kesahihannya.

"Persoalan yang diajukan kedua dua pihak setakat ini meyakinkan figura tersebut," tulisnya.

Berdasarkan maklumat tambahan dikongsikan Leone di ruangan komen, bapa kandungnya pernah bertugas sebagai guru di sebuah kolej di Terengganu pada 1967 sebelum berpindah ke Kota Bharu hingga 1971.

Maklumat itu juga disahkan tepat oleh anak sulung Wok yang hanya dikenali sebagai H menerusi perbualan mesej Ahmed.

"Semua informasi diberikan adalah tepat, boleh tanya dia sekarang," kata H.

Mengulas lanjut, kata Ahmed, Dau dan anak lelakinya dikenali sebagai Aziz yang berada di dalam gambar berkenaan sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Setakat ini, Leone cuba untuk melawat keluarga angkatnya sejurus dapat hubungi anak Wok.

"Dau dan Aziz dah meninggal dunia. Dia tahu bahasa Melayu cuma tidak boleh nak lisan," katanya kepada Majoriti.

Ahmed yang juga merupakan sepupu kepada arwah Aziz pada masa sama turut menunggu pertemuan dua keluarga tersebut.

Sebelum ini, Wok dan Dau dikatakan merupakan individu yang menjaga Leone sekeluarga ketika kecil di Kota Bharu kira-kira 54 tahun lalu sebelum pulang ke negara asal pada 1971.

Meskipun lama terpisah, Leone dikatakan kerap kembali ke Malaysia beberapa kali demi bertemu semula dengan keluarga angkatnya.

Hantaran itu sekali gus mencuri perhatian ramai termasuk beberapa penduduk yang berusaha memberikan maklumat tentang keberadaan keluarga Wok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram