
MENJADI antara enam model terkenal yang berpangkalan di Asia, Christina Chung mencuri tumpuan ramai selepas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menyerlah dalam industri fesyen.
Beliau mendedahkan pernah menerima tawaran sesi fotografi daripada jurugambar profesional dan amatur sejak usianya muda lagi.
Namun memilih kerjaya dalam sektor perbankan demi masa hadapan yang lebih stabil.
BACA LAGI: [VIDEO] Buah pir singo, halia tip bantu reda batuk, sakit tekak dialami anak-anak
Lebih menarik apabila Christina membuat keputusan untuk menceburi bidang peragaan kala usianya mencecah 50-an.
Kini, wanita berasal dari Hong Kong itu aktif sebagai model bebas dan mencipta fenomena baharu dek penampilannya yang penuh elegan meskipun sudah menginjak usia pertengahan.
"Pada zaman muda dahulu, model mesti muda, cantik dan seksi.
"Namun, sekarang saya melihat perubahan besar terutama pandangan masyarakat terhadap usia sudah jauh lebih terbuka," katanya.
Ditanya pula tentang pengalamannya, Christina hanya benar-benar serius menceburi bidang itu setahun lalu selepas diberi peluang beraksi di pentas peragaan Paris untuk jenama Munion pada 2024.
"Perkara paling saya suka sebagai seorang model adalah dapat berjumpa dengan ramai individu yang sangat kreatif dan berbakat.
"Saya juga semakin memahami industri fesyen yang sebelum ini tidak begitu saya pedulikan," jelasnya.
Christina turut berkongsi keterujaannya menyertai London Fashion Week baru-baru ini.
"Ia sangat menyenangkan. Saya dapat berjumpa dengan ramai pereka fesyen kreatif dan berbeza termasuk rakan-rakan baharu yang hebat," ujarnya.
Perjalanan kariernya kini seakan lengkap apabila bukan sahaja beliau berpeluang meneroka sisi kreatif melalui dunia peragaan.
Malah, anak perempuannya turut mengikut jejak langkah sebagai model di lokasi mereka menetap. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram