
DALAM masyarakat Melayu, pelbagai petua tradisional diwarisi turun-temurun bagi membantu wanita pulih selepas bersalin.
Antara yang sering diamalkan ialah bertangas, iaitu rawatan wap panas menggunakan herba yang dikatakan membantu mengecutkan rahim, membuang angin serta mempercepatkan proses pemulihan tubuh.
Walaupun amalan itu masih dipraktikkan hingga ke hari ini, segelintir pihak berpendapat ia tidak mempunyai asas saintifik dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan ibu.
BACA LAGI: Farah Ann dilantik Chef de Mission Malaysia ke Sukan Remaja Asia Bahrain 2025
Pakar bedah kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di United Kingdom, Dr. Amalina Bakri menjelaskan bahawa faraj sebenarnya boleh bersih secara semula jadi tanpa memerlukan sebarang rawatan wap herba.
"Steaming your vagina postpartum is actually not recommended by medical professionals, vagina anda boleh bersih sendiri secara semula jadi, kita tidak perlu stim herba atau wap panas untuk ‘detox’," katanya di laman Instagram.
Tambahnya, amalan bertangas berpotensi menyebabkan kesan sampingan seperti melecur, iritasi kulit serta mengganggu keseimbangan flora semula jadi pada bahagian intim.
Lebih membimbangkan, penggunaan wap panas pada luka bersalin juga boleh melambatkan proses penyembuhan atau menjadikannya semakin teruk.
"Kalau kita stim vagina dengan wap panas, boleh mnyebabkan luka bersalin lambat sembuh, atau jadi lebih teruk
"Your body knows how to heal, what you need is rest, hygiene and medical follow up, bukan rawatan yang boleh membahayakan," ujarnya.
Sebagai langkah selamat, wanita selepas bersalin disarankan menjaga kebersihan diri dengan mencuci bahagian luar faraj (vulva) menggunakan air suam, mendapatkan rehat secukupnya serta membuat pemeriksaan susulan dengan doktor sekiranya ada masalah kesihatan.
Akui ia merupakan budaya dan amalan dipraktikkan golongan terdahulu, Dr. Amalina tegas menyatakan kepentingan ilmu perubatan moden sebagai panduan utama dalam memastikan kesihatan ibu terjamin.
Sekadar info, wanita asal Kota Bharu, Kelantan itu menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan di University of Edinburgh dan menyambung kajian kedoktorannya di Imperial College London.
Mendirikan rumah tangga dengan warga British, mereka telah dikurniakan dua cahaya mata yang dilahirkan di Hospital St Thomas London.
Atas beberapa faktor, Dr. Amalina memilih status kewarganegaraan British untuk cahaya matanya namun pada masa tegas menyatakan anaknya tetap berdarah kacukan Melayu walaupun menetap di UK dan berbangsa Inggeris. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram