
AMALAN mencukur rambut bayi baru lahir sebanyak 40 kali, khususnya setiap Rabu berturut-turut kini menjadi perbualan hangat dalam kalangan ibu bapa.
Perkara itu dikaitkan dengan tradisi ulama Hadramaut yang dipercayai mampu menjadikan anak lebih cerdik dan solehah.
Seorang ibu baru-baru ini berkongsi pengalaman rakannya yang kerap mencukur rambut anak setiap minggu sebagai salah satu fahaman dan amalan tersebut.
BACA LAGI: Farah Ann dilantik Chef de Mission Malaysia ke Sukan Remaja Asia Bahrain 2025
"Pernah dengar cukur rambut baby 40 kali untuk anak yang cerdik pandai dah solehah?
"Saya pun baru tahu sebab kawan buat, setiap minggu dia cakap nak nak cukur rambut anak, rupanya dia ada dengar ceramah cukur rambut 40 kali untuk anak pandai," kongsinya di laman Threads.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tidak salah untuk mengamalkan tradisi tersebut kerana ia sememangnya diamalkan sebahagian masyarakat di Hadramaut, Yaman.
Namun, beliau tegas menyatakan bahawa amalan sunah utama tetaplah mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahiran, di samping pelaksanaan aqiqah dan tahnik.
"Tak salah kalau kita amalkan budaya tersebut, sama juga di sini ada yang keluar menuntut tabligh selama 40 hari dan berbeza-beza mengikut fahaman serta syarak masing-masing.
"Paling utama sunah mencukur rambut pada hari ketujuh walaupun masih belum berkemampuan melakukan sembelihan aqiqah.
"Pahala sunat tetap dikira walaupun yang lebih baik adalah melakukan aqiqah terlebih dahulu sebelum mencukur rambut berdasarkan hadis Nabi SAW dan pandangan para ulama," katanya kepada Majoriti.
Mohamad Shukri menyatakan keutamaan harus diletakkan kepada amalan sunah mencukur lepas tujuh hari dan aqiqah.
Sementara itu, seorang pendakwah agama, Mohamad Razif menjelaskan bahawa amalan mencukur rambut bayi 40 kali pada Rabu memang wujud dalam sebahagian masyarakat dan ulama Hadramaut.
Tujuannya adalah agar bayi membesar menjadi seorang faqih, dengan izin ALLAH SWT.
Beliau turut merujuk pandangan Syeikh Ali Muhammad Ba'Ali Ba'Ishn dalam kitab Bushra al-Karim bi Sharh Masa'il al-Ta'lim yang menyatakan bahawa amalan tersebut tidak mempunyai asal dalam nas syarak, namun telah diamalkan dan terdapat bentuk kebenarannya.
"Ia termasuk dalam isu tajribah (pengalaman) ulama, terpulang kepada sesiapa yang ingin mengamalkannya atau cukup sekadar dengan sunah mencukur rambut pada hari ketujuh.
"Cuma sebaiknya, selesaikan dahulu sunah cukur hari ketujuh, kemudian bolehlah dilakukan amalan ini, dalam sunah ada keberkatannya," katanya di laman Facebook.
Justeru, setiap ibu bapa berhak memilih pendekatan yang dirasakan baik untuk anak mereka, sama ada berpegang kepada sunah yang jelas mahupun mengamalkan tradisi tambahan.
Apa yang utama ialah memastikan setiap amalan dilakukan dengan niat yang betul serta berpandukan syariat, agar anak-anak membesar dengan keberkatan dan menjadi generasi bermanfaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram