
TULAR ketika ini berhubung sebuah kes melibatkan seorang remaja 19 tahun di Baling, Kedah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke balai polis untuk menuntut telefon miliknya.
Kes berkenaan dikongsikan di media sosial apabila peranti milik mangsa difahamkan dirampas dua anggota polis yang meminta RM200 sekiranya mahu mendapatkannya semula.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, remaja tersebut bersama ibunya terjatuh sebelum menyatakan bahawa dia tidak larat untuk ke balai polis.
BACA LAGI: [VIDEO] Majlis Daerah Baling tampil perjelas isu caj RM400, nafi pegawai langgar etika
BACA LAGI: [VIDEO] Operasi jejak Muhammad Fayyad diteruskan di sungai, ladang kelapa sawit di Baling
Tidak lama selepas itu, mangsa yang dikenali sebagai Zulqadiri Mohd Sabri tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kuala Ketil di Kedah.
Kesal akan perkara tersebut, ibu arwah yang berusia 74 tahun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kupang yang kemudian tular di media sosial.
Dalam laporan berkenaan, pengadu, Khadijah Yaakob menyatakan anaknya ditahan anggota yang menaiki motosikal sebelum telefonnya dirampas.
Kes tersebut kemudiannya menimbulkan pelbagai persoalan di media sosial apabila pengguna mempersoalkan tindakan pihak berkuasa untuk meminta RM200 bagi mendapatkan gajet milik mangsa.
"Anak itu balik kerja penat dan tiba-tiba, telefon dirampas tanpa sebab dan polis ambil kesempatan rampas dan ugut perlu bayar duit. Apabila ibu tahu apa berlaku, cuba buat laporan sebelum anak rebah tiba-tiba.
"Gugur air mata seorang ibu apabila anak tidak berdosa diperlaku sebegitu. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman," kata Sherahanim Hanim.
"Teramat berat kes seperti ini kerana mencalarkan nama pihak berkuasa. Harap badan pemantau anggota pihak berkuasa kemas kini cara mendidik anggota supaya tidak melakukan kesalahan berulang," kata Adam ViDic Rie.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram