
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) autisme dan mengalami masalah pembelajaran, Muhammad Fayyad Affan Mohamad Fakhri, 4,diteruskan pada Sabtu.
Memetik laporan Harian Metro, usaha pencarian kanak-kanak autisme itu dilakukan dengan bantuan 150 orang yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) termasuk penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar bagaimanapun memaklumkan, tiada sebarang petunjuk diperoleh setakat ini.
Katanya, usaha menjejaki Muhammad Fayyad yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Landak Paya, Kupang sejak Jumaat sudah melebihi 24 jam.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan unit anjing pengesan (K9) polis dan JBPM digunakan untuk pencarian Muhammad Fayyad.
Polis pada masa sama mencari mangsa di sekitar kawasan sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya serta kawasan darat termasuk ladang kelapa sawit.
Sebelum ini, Muhammad Fayyad dilaporkan hilang dari rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran Kampung Landak Paya, Kupang dekat Baling, Kedah pada Jumaat.
Kanak-kanak terbabit disedari hilang kira-kira pukul 12.30 tengah hari Jumaat.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah itu, kanak-kanak terbabit didapati keluar dari arah belakang rumah menuju ke pagar seterusnya keluar di sebelah kanan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram