
PENGORBANAN ibu bapa dalam mencari rezeki buat anak-anak kerap kali disaksikan apabila mereka kadang-kala terpaksa menempuh cabaran demi mencari sesuap nasi.
Tetapi, atas sebab memikirkan kebajikan yang tersayang, setiap ujian dihadapi akan ditempuhi dengan cekal dan tabah walaupun perlu berkorban masa, tenaga mahupun wang ringgit.
Cabaran itulah dihadapi seorang individu memakai kostum katak yang kerap kali dilihat di pasar malam sekitar Cameron Highlands, Pahang bagi menghiburkan pengunjung sambil mengharapkan sumbangan ikhlas.
BACA LAGI: Ibu cari rezeki sambil tangan terikat dengan anak
BACA LAGI: Walau sakit saraf, suami isteri gigih buat 'live' cari rezeki jual minyak wangi
Dalam sebuah video dimuat naik di TikTok Schafeeqaz, lelaki terbabit cekal mengendong anaknya ketika memeriahkan suasana meskipun orang ramai kurang memberi perhatian.
"Saya sedang makan, tiba-tiba nampak dua insan hebat ini sedang berjuang. Sumpah, masa ni, saya sebak sangat-sangat lihat di sebalik maskot katak, ada seorang ayah yang hebat.
"Di saat kita rasa hidup kita susah, sebenarnya ada lagi orang yang lebih susah daripada kita, cuma kita sahaja tak tahu bersyukur. Tengoklah 'baby boy' ni, kacak sangat dan langsung tak meragam saat ayahnya mencari rezeki," tulisnya.
Menyedari semangat ditunjukkan individu itu, pemilik akaun tersebut memanggilnya sebelum menghulurkan wang ringgit dengan mengharapkan sumbangan berkenaan dapat menyuntik kesungguhan buat kedua-duanya.
Lelaki dalam kostum itu kemudiannya membenarkan kanak-kanak tersebut turun dari pangkuannya dan melakukan sedikit tarian yang menggembirakan pengunjung lain.
Individu dalam kostum katak sering dikesan sekitar pasar malam sambil mengharapkan sumbangan ikhlas pengunjung.
Tinjauan di ruangan komen mendapati budak lelaki kecil itu bernama Yunus dengan kelibatnya sebelum ini pernah dikesan bersama bapanya sekitar Alor Setar, Kedah.
Selain itu, pengguna TikTok lain mencurahkan emosi terhadap video berdurasi 36 saat berkenaan dengan masing-masing tersentuh akan kesungguhan dan kecekalan seorang bapa.
"Ya ALLAH, rindunya awak Yunus. Semasa bulan puasa, kamilah yang jaga dia ini ketika di Alor Setar. Sangat baik dan tak pernah nangis walaupun kepanasan. Rindunya awak, semoga membesar dengan baik," tulis PuPutry16.
"Tiada kekurangan buatnya mencari rezeki sambil bawa anaknya. Sekurang-kurangnya, anak itu berada dalam dakapan ayahnya selalu, kerja luar belum tentu dapat luangkan masa sebegitu," kata Waheeda Shop.
"Yang penting, setiap makanan dan minuman yang masuk ke mulut anak dan bininya itu dari sumber halal. Rajin usaha, insya-ALLAH ada rezekinya," kata Azwan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram