
RAMAI antara kita suka mengumpul pelbagai barang hiasan, tetapi terlalu banyak hiasan kadangkala membuatkan ruang rumah kelihatan serabut dan tiada titik fokus.
Eleanor Richardson, seorang penggemar dekorasi dengan gaya sedikit eklektik, berkongsi bagaimana beliau mengubah ruang rumahnya dengan satu kaedah mudah tetapi penuh berkesan.
Beliau mengakui suka membeli barangan hiasan terpakai, namun akhirnya mula terasa rumahnya kelihatan tidak seimbang dan hilang ruang untuk meletakkan koleksi baharu.
BACA LAGI: Myvi lesap lepas pulang 'outstation', rupanya kereta dijual kekasih kepingin pakai beg Chanel
BACA LAGI: [VIDEO] Suami hadiahkan isteri Honda Civic Type R pada hari konvokesyen simbolik usaha, penat lelah
Selepas ruang rumah mula hilang identiti, beliau mencuba kembali kaedah asas dekorasi yang popular.
Kaedah itu dikenali sebagai 'rule of three' atau kaedah nombor ganjil.
Menurut pereka dalaman Mollie Ranize daripada Dmar Interiors:
"Kaedah hiasan 3-5-7 adalah prinsip mudah yang membantu mewujudkan keseimbangan visual. Dengan mengumpulkan objek dalam kumpulan nombor ganjil iaitu tiga, lima atau tujuh.
"Ia mencipta ritma semula jadi yang menarik mata dan menjadikan susunan lebih harmoni."
Pereka dalaman Nina Lichtenstein pula menambah bahawa kaedah itu membantu mewujudkan keseimbangan tanpa perlu simetri yang membosankan.
Ia sesuai untuk menggayakan rak, meja, kusyen di sofa atau sebarang susunan hiasan.
Susunan ganjil membuat setiap objek kelihatan lebih menonjol, manakala gubahan hiasan ganjil mencipta visual menarik.
Hasil penuh kejutan
Bagi Eleanor, bahagian pertama yang diuji ialah ruang perapian (fireplace).
Dahulu, hiasan di atas 'mantel' hanya disusun lurus dan kelihatan hambar.
Beliau cuba mengosongkan semuanya, meletakkan bingkai gambar besar di tengah sebagai titik fokus, dan menyusun hiasan kecil dalam kumpulan tiga atau lima di kiri dan kanan.
Hasilnya, susunan itu kelihatan lebih terancang dan setiap objek seolah-olah mempunyai peranan.
Namun, beliau mengingatkan supaya variasi ketinggian, bentuk dan tekstur diambil kira agar susunan tidak kelihatan bosan.
Contohnya, jika meletakkan lilin, jangan guna tiga lilin yang sama bentuk.
Gabungkan lilin tinggi, lilin sederhana dan 'tea light' kecil supaya lebih menarik.
Digunakan pada rak buku dan katil
Kaedah itu juga digunakan Eleanor pada rak buku apabila dia menyusun buku mengikut warna, manakala hiasan kecil diletakkan mengikut ketinggian dan tekstur, menjadikan rak lebih hidup bukan sekadar tempat menyimpan buku.
Di bilik tidur, Eleanor menggunakan prinsip sama dengan kusyen di atas katil.
Daripada empat biji, beliau hanya tinggalkan tiga dengan satu kusyen besar di tengah dan dua di sisi.
Hasilnya, katil kelihatan lebih kemas dan setiap kusyen nampak penting, bukan sekadar menimbun ruang.
Nina menegaskan tiga kusyen di sofa memberi rasa moden dan disengajakan, manakala lima sesuai untuk sofa berbentuk L kerana memberi jumlah yang seimbang tanpa berlebihan.
Eleanor mengakui beliau tidak menyangka kaedah nombor ganjil itu memberi perubahan besar pada dekorasi rumah.
Rumahnya kini kelihatan lebih rapi, setiap hiasan kelihatan terpilih dengan sengaja, bukan diletak sebarangan.
Kaedah itu mudah dicuba di rumah dengan susunan kecil seperti kusyen di sofa atau hiasan di meja kopi.
Apabila sudah faham konsepnya, boleh cuba di kawasan lain seperti rak buku atau dinding hiasan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram