
BEKAS ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, 31, dilantik sebagai chef de mission (CDM) kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia 2025 yang akan berlangsung di Manama, Bahrain Oktober depan.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, pelantikan itu dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai usaha penyerahan kepimpinan kontinjen remaja kepada tokoh muda memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
"Pengalaman antarabangsa Farah yang luas dan pencapaian cemerlang diharapkan dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada kontinjen kami di Sukan Asia Belia di Bahrain.
BACA LAGI: 'Mak Iti tak garang, tegur dengan lembut', Siti Nurhaliza bantu pantau vokal, pelajaran Umai
"Dengan kepimpinannya terbukti, kerjaya yang penuh inspirasi dan dedikasi terhadap kecemerlangan, kami yakin Farah akan menjadi contoh teladan, mendorong mereka untuk memberikan terbaik dan mencapai kejayaan untuk negara," katanya menerusi kenyataan itu.
Farah Ann bukanlah nama asing dalam arena gimnastik negara ekoran deretan pencapaian serta kejayaan pernah dikecapi sebelum ini.
Sejak mula menyertai pasukan kebangsaan, beliau telah mencipta pelbagai sejarah manis buat negara.
Di pentas Sukan SEA sahaja, Farah telah mengumpul sebanyak 12 pingat meliputi tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa dalam empat edisi bermula 2011, 2015, 2017 dan 2019.
Antara pencapaian gemilangnya ialah pada edisi 2019 di Filipina apabila berjaya meraih tiga pingat emas dalam acara keliling, palang tidak rata dan senaman lantai, sekali gus menobatkan dirinya antara gimnas paling berjaya dalam sejarah sukan negara.
Selain itu, Farah turut beraksi mewakili Malaysia di Sukan Komanwel 2010, 2014 dan 2018, selain dua kali penyertaan Sukan Asia pada 2014 di Incheon serta 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Kejayaan paling bersejarah hadir pada Kejohanan Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman, apabila beliau menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, menjadikannya gimnas Malaysia keempat yang beraksi di pentas tersebut selepas lebih dua dekad.
Usai mengumumkan persaraan daripada pentas gimnastik kompetitif pada 2022, Farah kekal aktif sebagai ikon sukan yang terus memberi inspirasi kepada generasi pelapis muda.
Pelantikannya sebagai CDM kini memberi peluang baharu buatnya menyumbang dalam kapasiti berbeza, iaitu membimbing atlet remaja Malaysia bukan sahaja dari segi disiplin dan prestasi, malah juga semangat juang di peringkat antarabangsa.
Sukan Remaja Asia 2025 dijangka menghimpunkan atlet muda dari seluruh benua, menjadikannya medan penting untuk menilai potensi serta melahirkan bintang sukan masa depan negara.
Dengan kepimpinan Farah, kontinjen Malaysia diyakini mampu memberi saingan sengit serta membawa pulang keputusan membanggakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram