[VIDEO] Projek dekor kini di fasa akhir, Chef Wan kongsi perjalanan menghias 'country home' impian di Raub


  • Hias
  • Isnin, 15 Sep 2025

Chef Wan pasti tersenyum puas melihat progres landskap dan dekorasi 'country home' impiannya di Sg. Koyan.

DIKENALI sebagai ikon kulinari Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra disapa Chef Wan bukan sahaja pakar dalam dunia masakan, malah seorang yang gemar mencantikkan kediaman.

Personaliti ceria dan gaya hidup beliau sering menjadi inspirasi kepada ramai peminat yang mengikuti perkongsian hariannya di media sosial.

Selain menghiburkan dengan masakan, Chef Wan sering berkongsi perkembangan hiasan dalaman, renovasi dan landskap rumahnya, yang menjadi bukti minat mendalam beliau terhadap seni dekorasi.

BACA LAGI: Nak hidup minimalis, rumah lebih lapang, ini 10 benda anda patut 'stop' beli

BACA LAGI: [VIDEO] Sentuhan kreatif Katarina Hernandez 'pukau' peminat perabot lama, dari warna pudar bertukar mewah, eksklusif

Beliau memiliki beberapa kediaman, antaranya di Cyberjaya dan sebuah rumah percutian ala 'country home' di Sg. Koyan, Raub, Pahang.

Country home itu menjadi projek istimewa Chef Wan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia memberi beliau ketenangan dan ruang privasi untuk berehat daripada jadual kerja yang padat.

Bagi beliau, rumah cantik bukan sekadar tempat tinggal tetapi satu terapi emosi yang memberi ketenangan jiwa.

Pagi hujung minggu yang indah baru-baru ini dimanfaatkan Chef Wan untuk berkebun di taman rumahnya di Cyberjaya sambil berkongsi kemajuan projek landskap dan dekorasi di Sg. Koyan.

Dengan penuh teruja, beliau menceritakan fasa pertama kerja landskap yang hampir siap sepenuhnya.

Tukang landskap, En. Othman, telah menyiapkan tugas dengan baik dan menerima bayaran penuh membuatkan beliau seorang yang gembira, kata Chef Wan dengan nada berseloroh.

Bagi fasa pertama, fokus diberikan pada penyediaan tanah, penanaman pokok kemboja pelbagai warna di setiap sudut serta kemasan halaman agar rumah kelihatan lebih teratur dan segar.

Chef Wan menekankan pentingnya menanam pokok kemboja secara berkala supaya ia kekal cantik dalam pasu sebelum dipindahkan ke pasu yang lebih besar apabila matang.

Fasa kedua pula bakal menampilkan pembangunan bahagian belakang rumah yang lebih menyeluruh.

Pembinaan pagar, kerja menambak tanah bagi meninggikan paras halaman dan penyediaan ruang hijau lebih lapang menjadi agenda utama.

Semua itu bertujuan mewujudkan suasana tenang dan privasi yang memberi ketenangan buat beliau sekeluarga.

Selain landskap, dekorasi dalaman turut menjadi perhatian.

Chef Wan bersedia melabur untuk langsir dan bidai berkualiti demi memastikan ruang tamu dan bilik tidur tampil anggun.

Beliau juga berkongsi rancangan untuk memindahkan perabot yang baharu diupholsteri, kelengkapan katil, permaidani baharu serta menambah perabot tambahan pada hujung minggu akan datang.

Menurut Chef Wan, menghias rumah adalah satu proses mencabar, bukan sahaja menguji nafsu membeli-belah, malah memerlukan pengurusan kewangan yang bijak.

"Kadang-kadang jika kita bayar murah, hasilnya pun murah. Jadi lebih baik melabur sedikit demi kualiti," katanya dengan nada lucu.

Antara yang paling dinantikan ialah pembinaan dapur luar dan sudut duduk santai di belakang rumah.

Bagi beliau, memiliki ruang peribadi yang tenang di halaman rumah adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan.

"Seronok bila ada tempat untuk berehat, minum petang dan menikmati udara segar," ujarnya.

Dengan perancangan rapi, Chef Wan optimis seluruh proses itu akan selesai dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau juga memilih untuk tidak melancong selama empat bulan demi memberi tumpuan kepada perbelanjaan rumah.

"Kita tak boleh dapat semua benda dalam hidup. Kadang-kadang kena berkorban untuk dapatkan yang lebih baik," tambahnya penuh inspirasi.

Perkongsian Chef Wan itu menjadi inspirasi buat ramai pemilik rumah yang ingin menaik taraf kediaman mereka.

Meskipun mencabar dari segi masa dan kewangan, hasilnya pasti menghadirkan kepuasan tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram