Ibu 'rosak' peluang latihan industri anak gara-gara permintaan luar biasa


  • Maya
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Majikan berkongsi pengalaman lucu dan mengejutkan ketika menilai calon latihan industri.

TEMU DUGA sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk calon mengasah bakat, sekali gua meyakinkan majikan.

Namun, bagi sesetengah majikan, apa yang berlaku selepas calon hadir sesi temu duga boleh menjadi pengalaman sukar dilupakan sehingga ada berkongsi di media sosial kerana terlalu pelik atau melucukan.

Situasi luar jangka itu membuatkan majikan berfikir dua kali sebelum menerima calon. 

BACA LAGI: Formula 3-5-7 rahsia rumah cantik, panduan hias kediaman agar nampak lebih kemas, terancang

BACA LAGI: Pementasan koleksi terakhir Giorgio Armani bakal jadi tumpuan utama tetamu Minggu Fesyen Milan

Apa yang sepatutnya menjadi proses profesional bertukar menjadi momen mencuit hati atau menimbulkan rasa serba salah apabila ahli keluarga dan pasangan calon turut campur tangan.

Perkongsian terbaharu yang tular membuktikan bahawa semangat ibu bapa untuk memastikan anak berjaya kadangkala boleh mengundang padah apabila permintaan mereka melampaui batas.

Ibu minta rumah, makan, pengangkutan untuk anak

Seorang majikan berkongsi bahawa beliau hampir menerima seorang pelajar untuk program latihan industri selepas sesi temu duga berjalan lancar.

"Resume pelajar itu bagus, temu duga pun meyakinkan. Saya sudah bersedia untuk menawarkannya tempat," katanya.

Namun, segalanya berubah apabila beliau menerima panggilan telefon daripada ibu pelajar tersebut dengan senarai permintaan mengejutkan.

"Ibu itu meminta anaknya tinggal di rumah saya, makan di rumah saya, dan pergi serta pulang kerja bersama saya menaiki kereta," jelasnya.

Berasa tidak selesa, majikan itu akhirnya menghubungi pelajar berkenaan untuk memaklumkan bahawa permohonan latihan industrinya terpaksa ditolak.

"Sebelum latihan pun bermula, ibu sudah memberi arahan kepada saya. Lebih baik saya tolak awal daripada hadapi masalah lebih besar kemudian," katanya.

Ibu ganti anak untuk temu duga

Seorang pegawai sumber manusia pula menceritakan pengalaman lucu ketika sesi temu duga jawatan pembantu taska.

"Saya sangka saya sedang menemu duga calon. Rupa-rupanya wanita di hadapan saya itu ialah ibu kepada calon. Anaknya tidak dapat hadir, jadi ibunya yang datang mewakili. Sesi itu akhirnya menjadi sesi berbual kosong kerana bagaimana mahu menemu duga seseorang yang bukan calon sebenar?" katanya. 

Calon bawa teman lelaki ke temu duga

Ada juga pengalaman unik apabila seorang calon hadir ke sesi temuduga sambil menggenggam tangan teman lelakinya.

"Mereka masuk bersama, duduk bersebelahan, dan ketika calon mengisi borang, mereka masih berpegangan tangan. Ya, calon itu seorang lelaki," kata pegawai HR yang berkongsi kisah tersebut.

Pengalaman sebegitu menjadi peringatan bahawa profesionalisme calon boleh mempengaruhi keputusan majikan.

Bagi pelajar dan graduan yang mencari latihan industri atau pekerjaan, tindakan ahli keluarga atau pasangan boleh menentukan sama ada peluang itu menjadi realiti atau terus lenyap sebelum sempat bermula.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram